PETALING JAYA – Kehilangan tempat tinggal akibat kebakaran Jun lalu sehingga terpaksa menumpang sementara di sebuah surau tidak mematahkan semangat Siti Nor Ashikin Zakaria untuk terus mengejar cita-cita menyambung pengajian di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).
Menurut Siti Nor Ashikin, kejadian malang itu menyebabkan bapanya Zakaria Hassan terpaksa menumpang sementara di Surau Al-Ikhsan berhampiran tapak rumah, manakala Siti Nor Ashikin tinggal bersama sepupu di rumah sewa disediakan kerajaan.
Dalam keadaan serba kekurangan, anak keenam daripada tujuh beradik itu kehilangan ibu tercinta enam tahun lalu tetap memilih untuk melangkah ke alam pengajian tinggi dan menjadikan pendidikan sebagai jalan membina kehidupan yang lebih baik
Kisah ketabahan pelajar Sarjana Muda Kejuruteraan Pertanian itu mendapat perhatian Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir yang berkesempatan mengadakan panggilan video menerusi Ziarah Kasih UniMAP.
Dalam panggilan berkenaan, Zambry menitipkan pesanan supaya Siti Nor Ashikin terus tabah dan tidak menjadikan ujian kehidupan sebagai penghalang untuk berjaya.
“Jangan jadikan apa yang berlaku sebagai penghalang untuk terus berjaya. Teruskan pengajian dengan bersungguh-sungguh dan jadikan segala ujian ini sebagai kekuatan untuk melangkah lebih jauh,” katanya.
Zambry menegaskan, kementeriannya sentiasa prihatin terhadap kebajikan mahasiswa dan tidak mahu masalah kewangan atau musibah menjadi sebab seseorang pelajar terpaksa mengorbankan pendidikan.
Semangat tersebut diterjemahkan melalui pendekatan ‘Masuk Dulu, Kebajikan Dibantu, bagi memastikan pelajar yang telah mendapat peluang melanjutkan pengajian tidak diketepikan hanya kerana berdepan kesusahan.
Sebaliknya, katanya, mereka perlu diberi ruang untuk memulakan pengajian terlebih dahulu, manakala keperluan kebajikan dikenal pasti dan dibantu mengikut keadaan.
Sementara itu, Naib Canselor UniMAP, Datuk Ts Dr. Zaliman Sauliturut mengadakan panggilan video bersama Siti Nor Ashikin bagi menyampaikan kata-kata semangat serta memastikan beliau sentiasa mendapat perhatian dan sokongan universiti sepanjang pengajian.
Kunjungan itu turut disertai Pengarah Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Jabatan Pendidikan Tinggi, KPT merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Perkasa Siswa, Hirman Awang, serta Timbalan Naib Canselor (HEPA) UniMAP, Prof. Dr. Mohd Mustafa Al Bakri Abdullah, dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Pelajar UniMAP, Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Mohamad Syahmie Mohamad Rasidi.
Sebagai tanda keprihatinan, Siti Nor Ashikin dan adiknya, Ahmad Faris Zakaria, masing-masing menerima Bantuan Awal Pendidikan Tinggi sebanyak RM1,000 daripada Yayasan Perkasa Siswa, selain Bantuan Awal Pendidikan UniMAP sebanyak RM500 setiap seorang.
Ahmad Faris turut menerima tawaran melanjutkan pengajian dalam bidang Ijazah Kejuruteraan Mekanikal di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM). Dua beradik ini membuktikan bahawa kesusahan hidup bukan alasan untuk menghentikan langkah mengejar masa depan.
Program Ziarah Kasih UniMAP akan diteruskan di beberapa lokasi lain. Bakal pelajar yang berdepan masalah atau memerlukan bantuan boleh menghubungi Unit Kebajikan, Jabatan Hal Ehwal Pelajar UniMAP di talian 04-941 4430 untuk mendapatkan khidmat dan sokongan yang bersesuaian. – KOSMO! ONLINE














