SUNGAI PETANI – Tiga lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang Geng Rames pada 2024 dan tahun lalu.
Mereka ialah B. Chandran, 37; A. Vadivelan, 30, dan T. Sundaramurthi, 42. Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan sebaik pertuduhan tersebut dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Najwa Che Mat.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang Geng Rames yang menjadi kesalahan di bawah Seksyen 130V (1) Kanun Keseksaan (KK).
Perbuatan itu dilakukan di Kampung Sungai Division dalam daerah Kuala Muda antara Januari 2024 dan 4 Disember 2025.
Sabit kesalahan, mereka bertiga boleh dikenakan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 20 tahun.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Muhammad Fitri Wan Azizan, manakala Sundaramurthi diwakili peguam S. Shatish. Dua lagi tertuduh tidak diwakili peguam.
Pada prosiding itu, pihak pendakwaan memohon kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi berikutan kes berkaitan kumpulan jenayah terbabit turut dibicarakan di mahkamah sama. Hakim Najwa membenarkan permohonan tersebut.
Pada 25 Mei lalu, Polis Diraja Malaysia dalam kenyataannya memaklumkan berjaya menahan ketua kumpulan jenayah terancang dikenali Geng Rames yang aktif di Sungai Division, di sini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, lelaki itu ditahan menerusi Op Tiga pada 22 Mei lalu hasil kerjasama pihak berkuasa India dan Thailand.
Suspek diberkas ketika dalam penerbangan dari Bangkok, Thailand menuju ke Hyderabad, India sebelum dibawa pulang ke Malaysia berikutan memiliki waran tangkap yang dikeluarkan Mahkamah Majistret Sungai Petani selain Notis Merah Interpol.
Pada 30 Disember lalu, seramai 20 ahli Geng Rames yang aktif dalam sindiket jenayah terancang di Kedah dan Pulau Pinang didakwa di Mahkamah Sesyen di sini.
Mereka didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang Geng Rames di Kampung Sungai Division dalam daerah Kuala Muda antara Januari 2024 hingga 4 Disember 2025. – KOSMO! ONLINE














