PETALING JAYA – Kedudukan sektor pertahanan Malaysia semakin mengukuh apabila beberapa syarikat antarabangsa telah menyatakan komitmen mereka menyertai Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2027 dan Defence Services Asia and National Security (DSA & NATSEC) Asia 2028 yang dianjurkan Kementerian Pertahanan, baru-baru ini.
Komitmen itu dizahirkan menerusi Majlis Penyerahan Kontrak Penyertaan Pameran yang disaksikan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan (MINDEF), Datuk Lokman Hakim Ali bersama Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Muhamad Norazlan Aris TUDM.
Majlis penyerahan itu berlangsung di Pavilion Malaysia sempena Farnborough International Airshow 2026 (FIA 2026), di United Kingdom, Khamis lalu.
Antara syarikat pertahanan antarabangsa yang menyatakan komitmen menyertai kedua-dua pameran itu termasuklah Pilatus Aircraft Ltd., RUAG, Korea Aerospace Industries (KAI), Glenair, Team Defence Australia dan Kallman Worldwide.
NAICO Malaysia pula mengesahkan penyertaan sebagai rakan kerjasama strategik.
Penyertaan awal ini mencerminkan keyakinan syarikat industri pertahanan dan aeroangkasa global terhadap keupayaan Kementerian Pertahanan dalam menganjurkan pameran pertahanan bertaraf antarabangsa.
Perkembangan itu turut mengukuhkan kedudukan LIMA 2027 dan DSA & NATSEC Asia 2028 sebagai platform pertahanan, aeroangkasa dan keselamatan bertaraf antarabangsa.
Selain itu, ia memperluas peluang kerjasama strategik serta menyokong pembangunan industri pertahanan negara.
LIMA 2027 akan berlangsung dari 17 hingga 20 April 2027 di Langkawi dengan penganjuran bersama Global Exhibition & Conference Sdn. Bhd. (GEC).
Sementara itu, DSA & NATSEC Asia 2028 dijadual berlangsung pada 17 hingga 20 April 2028 di Kuala Lumpur yang dianjurkan bersama DSA Exhibition & Conference Sdn. Bhd.
Sebelum penyertaan Malaysia di FIA 2026, LIMA 2027 telah dilancarkan secara rasmi pada 7 Julai lalu di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC), Kuala Lumpur.
Ia sebahagian daripada strategi memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab strategik pertahanan dan aeroangkasa serantau.
Penyertaan di FIA 2026 pula menjadi kesinambungan kepada agenda itu menerusi siri libat urus strategik bersama kerajaan, angkatan tentera serta pemain industri pertahanan dan aeroangkasa global.
Momentum hasil pelancaran LIMA 2027 dan penyertaan Malaysia di FIA 2026 dijangka meningkatkan penyertaan antarabangsa serta pengiktirafan kedua-dua pameran berkenaan sebagai antara platform pertahanan, aeroangkasa dan keselamatan terkemuka di rantau Asia Pasifik.
Perkembangan itu bukan sahaja meningkatkan keterlihatan LIMA 2027 dan DSA & NATSEC Asia 2028 di peringkat global, malah membuka lebih banyak peluang pelaburan strategik, kerjasama industri serta pemindahan teknologi yang menyokong pembangunan ekosistem industri pertahanan negara.
Kedua-dua pameran itu turut berperanan sebagai instrumen strategik diplomasi pertahanan Malaysia dalam memperkukuh hubungan dua hala dan pelbagai hala dengan rakan antarabangsa.














