PUTRAJAYA – Kerajaan sedang mengkaji mekanisme perundangan bagi membolehkan mangsa jenayah siber, khususnya penipuan dalam talian menerima pampasan atau mendapatkan semula wang yang hilang akibat diperdaya ‘scammer’.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, kajian itu sedang dilaksanakan oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) susulan kebimbangan bahawa undang-undang sedia ada lebih tertumpu kepada menghukum pelaku berbanding melindungi hak dan kepentingan mangsa.
Beliau berkata, kajian berkenaan turut meneliti amalan beberapa negara termasuk United Kingdom (UK), Australia dan Singapura yang mempunyai pendekatan berbeza dalam menangani jenayah siber serta memberikan perlindungan lebih menyeluruh kepada mangsa.
“Kita nak buat kajian lebih mendalam tentang isu mangsa dalam jenayah siber, bukan sahaja dalam elemen jenayah siber, tetapi juga kemudaratan dalam talian dan jenayah digital.
“Di Singapura misalnya, terdapat hukuman sebat terhadap pesalah, manakala di negara kita hukuman lebih tertumpu kepada denda dan penjara,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri sesi pembukaan Program Bulan Keselamatan Negara (BKN) 2026 di sini, hari ini.
Katanya, antara aspek yang diberi perhatian adalah mekanisme pemulangan wang kepada mangsa penipuan dalam talian sebagaimana dilaksanakan di UK dan Australia.
Azalina berkata, di negara berkenaan, mangsa yang menjadi sasaran penipuan dalam talian berpeluang mendapatkan semula wang yang hilang, termasuk melalui penglibatan institusi kewangan tertentu.
“Kalau kita simpan duit di Australia dan UK, apabila menjadi mangsa, kita boleh dapat semula wang itu. Di Malaysia, perkara itu belum ada dan sebab itu kita perlu mengkajinya.
“Mungkin ada kaitan dengan sistem insurans atau mekanisme lain yang digunakan di negara terbabit. Kita mahu melihat apakah bentuk perlindungan terbaik yang boleh diberikan kepada mangsa,” katanya.
Jelasnya lagi, ketika ini kebanyakan undang-undang berkaitan jenayah memberi fokus kepada tindakan terhadap pelaku, termasuk menerusi Kanun Keseksaan dan Kanun Tatacara Jenayah.
“Undang-undang kita banyak menghukum pelaku. Tetapi mangsa selalunya hanya membuat laporan dan dalam banyak keadaan wang yang hilang tidak dapat diperoleh semula.
Mengulas lanjut, Azalina berkata, isu perlindungan terhadap mangsa turut dibangkitkan oleh beberapa Ahli Parlimen ketika perbahasan Rang Undang-Undang Jenayah Siber baru-baru ini.
Katanya, terdapat pandangan bahawa kerajaan dan institusi tertentu menerima perlindungan undang-undang yang mencukupi, namun aspek kebajikan serta hak mangsa masih memerlukan perhatian yang lebih serius.
Bagaimanapun, beliau menegaskan kajian berkenaan masih di peringkat awal dan kerajaan belum membuat sebarang keputusan berhubung cadangan mekanisme pampasan atau pemulangan wang kepada mangsa jenayah siber. – KOSMO! ONLINE














