SHAH ALAM – Trend warga asing mengahwini warga tempatan semata-mata untuk mendapatkan lesen perniagaan dan membina empayar perniagaan di Selangor dipercayai sudah berlarutan lebih sedekad.
Taktik itu sekaligus membuka ruang kepada eksploitasi yang luas terhadap lesen perniagaan secara sah atas nama pasangan tempatan.
Perkara itu didedahkan Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor, Datuk Ng Suee Lim hasil pemantauan dan siasatan daripada anggota penguatkuasaan pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri.
Menurutnya, fenomena tersebut semakin ketara sejak kebelakangan ini yang dijadikan ‘lesen tidak langsung’ atau akses kepada lesen perniagaan.
“Saya tidak nafikan ada di antara mereka ‘kahwin palsu’ ( untuk mendapatkan lesen perniagaan daripada pasangan mereka).
“Pemeriksaan lanjut dibuat mendapati ada warga asing berkahwin dengan warga tempatan untuk berniaga sahaja.
“Fenomena kahwin palsu ini telah berlaku lebih 10 tahun. Namun, kebelakangan ini semakin banyak tapi saya tidak angka khusus mengenai kes ini,” katanya pada sidang akhbar di lobi Dewan Negeri Selangor di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan Kosmo! berhubung kewujudan ratusan premis perniagaan yang diusahakan warga asing di beberapa bandar utama termasuk di Klang yang makin berleluasa dan diusahakan dengan berani di kawasan terbuka dan tempat tumpuan ramai. – KOSMO! ONLINE














