PETALING JAYA – Sikap patriotik yang ditunjukkan oleh sekumpulan rakyat Malaysia menyentuh hati pengguna media sosial apabila masing-masing secara automatik berdiri tegak menghormati lagu Negaraku di pasar tani sekitar Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, pagi tadi.
Menerusi satu hantaran yang dimuat naik di aplikasi Threads oleh Wickedchillis, kelihatan penjual dan pembeli di pasar tani berhenti seketika semasa lagu Negaraku dimainkan.
Menurutnya, terdapat sebuah sesi latihan (rehearsal) bagi satu acara yang sedang dijalankan di dalam stadium berkenaan sebelum lagu kebangsaan itu tiba-tiba berkumandang.
“Kisah pagi tadi kat Stadium Cheras ada rehearsal tapi tak pasti untuk acara apa. Berdekatan dengan stadium ada pasar tani.
“Tiba-tiba berkumandang lagu Negaraku. Tak kira pembeli mahupun peniaga, tak kira usia mahupun bangsa yang tengah sibuk berurusan jual beli, semua automatik berdiri tegak sampai habis lagu,” katanya.
Tindakan spontan dan penuh adab yang dipamerkan oleh pengunjung serta peniaga di pasar tani itu turut mendapat pujian meluas dan ucapan tahniah daripada pengguna media sosial.
Rata-rata pengguna meluahkan rasa bangga kerana nilai murni dan rasa cinta akan negara masih menebal dalam kalangan masyarakat tanpa perlu dipaksa-paksa.
“Tahniah rakyat Malaysia. Ini membuktikan jiwa kita masih lagi menghormati dan menyayangi negara sendiri,” ujar Zukimemo1.
“Saya suka tengok suasana macam ini. Pernah juga saya joging keluar lagu Negaraku semua orang berhenti, rasa wow sampai meremang bulu roma,” jelas Lin4adella. – KOSMO! ONLINE
View on Threads














