KUALA LUMPUR – Penggunaan MyDigital ID secara meluas berpotensi menjadi benteng baharu dalam usaha membanteras jenayah penipuan dalam talian yang semakin canggih dan kompleks.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, pihaknya telah mengadakan beberapa sesi libat urus dengan MyDigital ID bagi membincangkan pelaksanaan platform tersebut dalam urusan perbankan dan kewangan.
“Kita percaya bila menggunakan MyDigital ID sepenuhnya, ia akan menjadi salah satu yang boleh menghalang scam daripada berlaku,” katanya pada program Majlis Penghargaan Bank Heroes #jangankenascam, di sini, hari ini.
Menurut beliau, MyDigital ID dilengkapi pelbagai ciri keselamatan yang sukar dipalsukan oleh sindiket penipuan sekali gus mampu mengurangkan risiko penyamaran identiti.
“Kita sangat-sangat percaya ciri-ciri keselamatan yang ada padanya sukar ditiru scammer dan boleh menjadi satu mekanisme yang berkesan untuk mencegah penipuan,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkhidmatan Kewangan Komuniti Maybank, Syed Ahmad Taufik Albar berkata, penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) oleh sindiket penipuan semakin membimbangkan apabila melibatkan panggilan deepfake (pemalsuan wajah atau suara) serta mesej phishing (penipuan pancingan data).
“Pada masa sama, kami terus melabur dalam meningkatkan keupayaan, termasuk menggunakan AI bagi mengesan dan membanteras scam,” jelasnya.
Dalam perkembangan sama, Rusdi berkata keputusan mahkamah yang mengarahkan sebuah bank membayar pampasan kepada mangsa penipuan tidak boleh dijadikan ukuran bahawa semua mangsa scam berhak menerima pampasan kerana setiap kes mempunyai fakta dan keadaan yang berbeza.
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati ketika membeli tiket konsert dengan hanya berurusan melalui platform rasmi bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan.
Pada majlis berkenaan, seramai 68 pegawai bank dari seluruh negara diraikan atas kejayaan mereka mengesan serta menggagalkan cubaan penipuan yang berjaya menyelamatkan wang pelanggan berjumlah RM139 juta. – KOSMO! ONLINE














