PETALING JAYA – Kegiatan penipuan melibatkan tuntutan insentif Program Daya Kerjaya berjaya dibongkar hasil kawalan dalaman berterusan yang dilaksanakan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sejak akhir tahun 2024.
Ketua Pegawai Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, pembongkaran itu seterusnya membawa kepada siri penahanan individu yang dipercayai terlibat dalam penyelewengan dana keselamatan sosial.
Menurut beliau, Perkeso tidak akan berkompromi dengan sebarang kegiatan didalangi sindiket atau individu dalam menyalahgunakan dana yang sepatutnya disalurkan kepada golongan memerlukan.
Katanya, sistem pemantauan dalaman dipacu teknologi kecerdasan buatan (AI) di Bahagian Anti-Fraud, Etika dan Integriti (AFEI) Perkeso, akan terus digunakan bagi mengesan sebarang kepincangan atau anomali dalam tuntutan yang dikemukakan.
“Setiap kepincangan akan disusuli tindakan segera oleh pasukan petugas khas yang menjalankan risikan di lapangan bagi mengesahkan sama ada tuntutan adalah berasas atau mempunyai unsur penipuan.
“Justeru, sejak akhir 2024, AFEI Perkeso berusaha mengumpulkan bukti sebelum menyerahkan semua maklumat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tujuan penguatkuasaan dan penahanan.
“Hasil kawalan dalaman Perkeso dan kerjasama yang diberikan kepada SPRM sekali gus membawa kepada pembongkaran kegiatan penipuan Daya Kerjaya 1.0 dan 2.0 sehingga kini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata kerjasama erat antara Perkeso dan SPRM turut diteruskan menerusi Op Tunjang yang mendedahkan pelbagai kegiatan penipuan jenayah berkolar putih, termasuk melibatkan pengamal perubatan.
Beliau menegaskan Perkeso akan terus memperkukuhkan mekanisme kawalan dalaman bagi membanteras sebarang cubaan menyeleweng dana keselamatan sosial yang diperuntukkan kepada pencarum dan waris mereka.
“Perkeso tidak berkompromi dengan sebarang kes penipuan, justeru melalui teknologi yang dimiliki di bahagian AFEI, setiap kes tuntutan akan dipantau dengan teliti.
“Kami ingin menegaskan kepada semua pihak, sama ada dalaman atau luaran, Perkeso akan
meneruskan kerjasama bersama pihak berkuasa dan mengambil tindakan tegas bagi membanteras kegiatan penipuan, penyelewengan dan manipulasi tuntutan,” katanya. – KOSMO! ONLINE














