fbpx
TANGKAP layar rakaman CCTV kejadian samun di sebuah kedai runcit di Kampung Kuala Lesung, Kuala Ketil di Baling pada Isnin lalu.

[VIDEO] Cemas dilibas pedang dalam samun kedai runcit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BALING – Seorang pekerja lelaki berdepan detik cemas apabila dilibas pedang serta disembur sejenis bahan oleh empat penjenayah dalam kejadian samun sebuah kedai runcit di Kampung Kuala Lesung, Kuala Ketil di sini baru-baru ini.

Rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) memaparkan kejadian tular di media sosial sejak semalam.

Dalam rakaman CCTV itu, empat lelaki memakai topi keledar, topeng muka dan sarung tangan dilihat meluru ke kaunter bayaran sebelum salah seorang daripada mereka melibas mangsa dengan sebilah pedang.

Seorang lagi suspek dilihat menyembur sejenis bahan ke arah mangsa sebelum kesemua mereka melarikan barangan berharga.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Brandon Richard Joe berkata, siasatan mendapati kejadian itu berlaku di kedai runcit berkenaan kira-kira pukul 8.45 malam, Isnin lalu.

Katanya, mangsa yang merupakan lelaki tempatan berusia lingkungan 20-an didatangi empat suspek lelaki yang menaiki sebuah kereta Perodua Bezza berwarna putih.

“Keempat-empat suspek memakai topi keledar, topeng muka, jaket dan sarung tangan ketika melakukan samun terhadap mangsa.

“Dalam kejadian itu, salah seorang suspek memegang sebilah pedang dan bertindak melibasnya ke arah mangsa,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, mangsa mengalami kecederaan ringan di bahagian belakang badan dan menerima rawatan di Hospital Baling.

“Mangsa turut mengalami kerugian melibatkan sejumlah wang tunai akibat kejadian samun itu,” ujarnya.

Tambahnya, polis sedang giat mengesan semua suspek yang terlibat dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian ini diminta tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN