PORT DICKSON – Kelibat seekor buaya bersaiz besar dilihat menghampiri tebing muara Sungai Linggi serta bot penduduk di Kampung Tanjung Agas, di sini, sehari selepas seorang pencari udang diserang reptilia itu pada Isnin minggu lalu.
Perkara itu didedahkan oleh Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan, Faizal Izham Pikri dan pihaknya telah membuat pemantauan dari semasa ke semasa pada waktu malam.
“Buat masa ini tindakan kita adalah memantau keadaan dan kita mendapati terdapat sekurang-kurangnya lapan buaya bersaiz besar berada di Sungai Linggi.
“Kita masih belum dapat mengenal pasti mana satu buaya yang membaham penduduk kampung pada Isnin lalu.
“Kami harap pemancing tidak buang hasil tangkapan yang sudah mati atau tidak diingini ke dalam sungai kerana dikhuatiri akan menarik perhatian buaya datang ke tebing,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Pada Isnin minggu lalu, Jaafa Hasan, 62, cedera pada paha dan kaki akibat digigit seekor buaya ketika mencari udang di tebing Sungai Linggi, Kampung Tanjung Agas pada pukul 4 pagi.















