fbpx
Poster yang dimuat naik Dr. Dzulkefly di Facebook beliau hari ini.

Hospital Selayang lakukan lima pemindahan buah pinggang dalam tempoh 72 jam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Pasukan Pemindahan Organ Hospital Selayang berjaya melaksanakan lima pembedahan pemindahan buah pinggang dalam tempoh kurang daripada 72 jam, sekali gus memberi harapan baharu kepada pesakit buah pinggang tahap akhir.

Kejayaan itu melibatkan kerjasama pelbagai disiplin termasuk pakar bedah urologi, pasukan anestesiologi, radiologi intervensi, penyelaras pemindahan, ahli farmasi dan jururawat dewan bedah.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, kejayaan tersebut merupakan pencapaian yang amat membanggakan serta mencerminkan komitmen tinggi warga Hospital Selayang dalam menyelamatkan nyawa.

“Saya ingin menzahirkan setinggi-tinggi penghormatan kepada para penderma organ dan waris keluarga atas pengorbanan yang tiada galang gantinya.

“Setiap ikrar pendermaan organ adalah satu harapan baharu untuk menyelamatkan nyawa dan menjadi anugerah kehidupan kepada pesakit yang sekian lama menantikan pemindahan organ,” katanya menerusi hantaran di media sosial.

Sementara itu Dzulkefly turut memuji tahap kesiapsiagaan dan dedikasi pasukan perubatan Hospital Selayang meskipun terpaksa bekerja dalam tempoh panjang serta berdepan keletihan.

Beliau berkongsi kisah seorang jururawat dewan bedah yang tetap menyatakan kesediaan untuk membantu sekiranya terdapat pembedahan lain yang perlu dilakukan.

“Dalam keadaan keletihan berhempas-pulas menyelamatkan nyawa, seorang jururawat OT yang disapa hanya mengukir senyuman.

“Ketika ditanya mengenai kesediaan jika ada lagi pembedahan yang bakal menyusul, beliau dengan penuh semangat dan ikhlas membalas, ‘We are ok, can still do’,” katanya.

Dzulkefly berkata, sikap tanpa keluhan itu menunjukkan kesungguhan petugas kesihatan memastikan pesakit End-Stage Kidney Disease (ESKD) menerima rawatan terbaik.

Tambahnya, pengorbanan tersebut merupakan manifestasi nilai ihsan dan semangat pengabdian yang menjadi asas perkhidmatan warga Kementerian Kesihatan.

“Terima kasih kepada wira-wira kesihatan negara di Hospital Selayang. Bakti luhur anda semua sentiasa dalam doa dan ingatan saya,” katanya.

Dalam masa yang sama Dzulkefly berkata, hasrat seseorang untuk mendermakan organ tidak dapat dilaksanakan tanpa kefahaman serta persetujuan waris.

Sehubungan itu, beliau menyeru individu yang telah berikrar sebagai penderma organ supaya memaklumkan keputusan berkenaan kepada ahli keluarga masing-masing menerusi kempen ‘Warisku, Hormati Ikrarku’.

Katanya, waris memainkan peranan penting dalam menunaikan hasrat terakhir penderma bagi memberi peluang kehidupan kedua kepada pesakit lain.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN