TBILISI – Seorang datuk bandar di Georgia nekad memecat seluruh anggota dan pegawai polis di kawasan berkenaan kerana membuatkan isterinya marah, lapor akhbar New York Post semalam.
Datuk Bandar Cohutta, Ron Shinnick menutup Jabatan Polis Cohutta dan memecat 10 anggota polis awal minggu ini selepas mereka didakwa memberikan ‘komen tidak senonoh’ tentang isterinya di platform Facebook.
“Jabatan Polis Cohutta dibubarkan dan semua kakitangan telah ditamatkan perkhidmatan,” tulis makluman pada papan tanda di pintu jabatan tersebut..
Tidak diketahui sama ada mereka dimaklumkan mengenai pemecatan itu terlebih dahulu atau selepas hadir ke tempat kerja.
Tindakan itu diambil selepas beberapa pegawai polis memfailkan aduan rasmi terhadap isteri Ron yang juga bekas kerani di pekan tersebut, Pam Shinnick.
Pam ditamatkan perkhidmatannya pada tahun lepas kerana didakwa mewujudkan persekitaran kerja yang toksik.
Susulan aduan rasmi itu, Ron mengadakan sidang akhbar bersama Ketua Polis Cohutta, Greg Fowler dan seorang peguam, Brian Rayburn untuk mengatakan mereka berjaya menyelesaikan pertikaian tersebut melalui dialog terbuka.
Namun, semua pegawai polis dipecat seminggu selepas sidang akhbar itu diadakan. – AGENSI














