PASIR PUTEH – Seorang kanak-kanak yang selamat selepas dihempap blok konkrit ketika bermain dan menggali lubang bersama anak saudaranya di kawasan pasir di Kampung Telaga Papan di sini semalam dilaporkan stabil meskipun mengalami kecederaan pada bahagian dalaman.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 petang itu, Muhamad Yunus Nasir, 12, cedera manakala anak saudaranya, Mohamad Yusof Nor Ismail, 12, meninggal dunia di lokasi kejadian.
Bapa kepada Muhamad Yunus, Nasir Ab. Rahman, 78, berkata, anaknya itu mengalami kecederaan dalaman termasuk luka di bahagian hati dan terdapat air pada buah pinggang yang perlu disedut keluar.
Katanya, Muhamad Yunus dibawa ke Hospital Tengku Anis di sini sebelum dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu untuk rawatan lanjut.
“Dia berada dalam keadaan stabil, namun memerlukan rawatan lanjut kerana kecederaan pada bahagian dalamannya agak serius.
“Kami sekeluarga bimbang dengan keadaan Muhamad Yunus selepas kejadian itu. Kita tidak tahu apa kecederaan bahagian dalaman yang dialaminya. Semasa dirawat di HRPZ II, keadaannya semakin baik,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Kosmo! Online hari ini melaporkan, seorang kanak-kanak maut manakala bapa saudaranya cedera selepas dihempap blok konkrit rumah semasa bermain dan menggali lubang pada kawasan pasir di depan rumah mereka di Kampung Telaga Papan di sini petang semalam. – KOSMO! ONLINE














