fbpx
Perkongsian PHM di Facebook hari ini.

Ada budak 12 tahun masih tidak diajar pakai seluar dalam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Terdapat kes kanak-kanak seawal usia 10 hingga 12 tahun didapati masih tidak dibiasakan memakai seluar dalam, sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap aspek kebersihan dan pendidikan asas tubuh badan dalam kalangan kanak-kanak.

Perkara itu dikongsikan oleh pengguna media sosial, Nurzaireen_erin yang mendakwa menemui situasi tersebut ketika melakukan pemeriksaan di sebuah sekolah, selain menzahirkan kebimbangan apabila terdapat murid perempuan mengalami haid tanpa perlindungan pakaian dalam yang sesuai.

“Makpak (ibu bap) tolong ajar anak lelaki dan perempuan pakai seluar dalam. Hari ini (baru-baru ini) ‘spotcheck’ umur 12 tahun masih tak pakai spenda. Sebab awal pagi ada budak perempuan period meleleh sampai kaki,” katanya.

Susulan itu, Public Health Malaysia (PHM) turut menegaskan bahawa pemakaian seluar dalam bukan perkara remeh, sebaliknya merupakan asas penting dalam penjagaan kebersihan diri, kesihatan serta maruah tubuh kanak-kanak.

Menurut hantaran PHM di Facebook, masih ada ibu bapa yang tidak membiasakan anak-anak memakai seluar dalam sejak kecil sama ada kerana menganggap ia akan dipelajari sendiri atau tiada rutin yang diperkenalkan lebih awal di rumah.

“Seluar dalam bukan sekadar pakaian. Ia melindungi kawasan peribadi, menyerap peluh, mengurangkan geseran, membantu menjaga kebersihan dan memberi anak rasa selamat ketika bergerak atau bersukan,” jelas PHM.

PHM turut menegaskan kepentingan penggunaan seluar dalam bagi kanak-kanak perempuan yang mula datang haid kerana ia membantu mengekalkan pad pada kedudukan yang betul serta mengelakkan kejadian kebocoran yang boleh menyebabkan rasa malu.

Dalam masa sama, PHM mengingatkan bahawa pendidikan berkaitan penjagaan tubuh badan tidak hanya tertumpu kepada kanak-kanak perempuan, malah kanak-kanak lelaki juga perlu dididik mengenai aspek kebersihan dan batasan aurat sejak awal.

“Jangan ajar anak perempuan sahaja. Anak lelaki juga perlu tahu kawasan sulit perlu dijaga, ditutup dan dihormati,” katanya.

Sehubungan itu, PHM mencadangkan agar ibu bapa menjadikan pemakaian seluar dalam sebagai rutin harian, termasuk selepas mandi, ketika ke sekolah, bersukan dan tidur selain memastikan pakaian yang digunakan bersaiz sesuai serta selesa.

“Ibu bapa juga disarankan menyediakan beberapa helai tambahan di dalam beg sekolah khususnya bagi kanak-kanak yang baru belajar menguruskan haid, selain menukar seluar dalam setiap hari atau apabila basah dan kotor,” katanya.

PHM juga menegaskan agar proses pendidikan tersebut tidak dilakukan dengan cara memalukan anak, sebaliknya menggunakan pendekatan yang tenang, berhemah dan penuh hormat. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN