PETALING JAYA – “Terima kasih kepada pihak media atas liputan yang membuka ruang untuk satu Malaysia mendoakan anak kami”.
Demikian rasa syukur diungkapkan bapa saudara mangsa kanak-kanak perempuan, Nur Qaseh Deandra Mohd Qayyum, 9, Afiq Ahmad, 33 ketika dihubungi di sini sebentar tadi.
Menurutnya, selepas lebih 40 jam pencarian, jasad kanak-kanak tersebut akhirnya ditemui.
“Lepas 40 jam, Qaseh kami telah pulang. Allah Maha Besar,” katanya.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR), termasuk pasukan penyelamat serta orang awam yang tidak putus-putus memberi sokongan dan doa.
Katanya, pihaknya difahamkan urusan bedah siasat akan dijalankan pada hari ini.
“Insya-Allah, jenazah akan dibawa ke Masjid Taman Rakan untuk disolatkan seterusnya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Long,” katanya.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan mayat kanak-kanak perempuan, Nur Qaseh Deandra Mohd Qayyum, 9, yang dilaporkan hilang dibawa arus selepas dipercayai terjatuh ke dalam longkang di Bandar Mahkota Cheras, di sini, kelmarin, ditemukan di Sungai Langat, hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, mangsa ditemui pada pukul 12.17 tengah hari, kira-kira 11 kilometer (km) dari lokasi dia dilaporkan terjatuh. – KOSMO! ONLINE














