PETALING JAYA – Seramai 934 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 diraikan menerusi Program Sumbangan Pelajar Cemerlang Parlimen Sungai Buloh di sini, hari ini.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan berkata, program anjuran Human Resource Development Corporation (HRD Corp) bersama bawah Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) ini memperuntukkan RM300,000 dalam menghargai kejayaan anak-anak di kawasan Parlimennya .
“Sebelum ini kita buat (program sumbangan) hanya untuk (pelajar cemerlang SPM) 7A ke atas. Tapi tahun ini saya bagi 4A, 5A, 6A pun turut dapat sekali. 4A sehingga 11A,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program tersebut di sini, hari ini.
Ramanan berkata, kejayaan dalam SPM bukan lagi sekadar ukuran kecemerlangan akademik, sebaliknya menjadi titik permulaan kepada pembentukan tenaga kerja masa hadapan negara.
Tambahnya, Kesuma komited memastikan kecemerlangan pelajar terus dipupuk dan diterjemahkan kepada pembangunan potensi diri secara menyeluruh, sekali gus membuka lebih banyak peluang pendidikan, kerjaya serta mobiliti sosial.
“Pelbagai inisiatif diperkenalkan melalui agensi-agensi Kesuma bagi menyokong pembangunan bakat dan kemahiran termasuk laluan akademik serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
“ADTEC Jabatan Tenaga Manusia misalnya menyediakan laluan pendidikan berkualiti tinggi dengan kadar kebolehpasaran graduan mencecah 95.5 peratus,” katanya.
Beliau berkata, Kesuma turut memperkasa latihan berasaskan industri dan pensijilan kemahiran yang diiktiraf supaya pelajar dapat memilih haluan bersesuaian dengan minat serta aspirasi masing-masing.
Menurutnya, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) juga menyediakan platform MYFutureJobs yang membantu memadankan pencari kerja dengan majikan melalui perkhidmatan profil kerjaya, kaunseling dan program peningkatan kemahiran.
“Kita juga mempunyai program Jelajah AI MyMahir dibawah TalentCorp secara percuma untuk memberikan pendedahan dan latihan AI hands-on bagi meningkatkan produktiviti dalam pekerjaan dan kehidupan seharian.
“Kesuma akan terus memperluas akses latihan kemahiran yang berkualiti dan relevan dengan keperluan pekerjaan dan industri melalui HRD Corp dengan kerjasama pihak industri dan penyedia latihan,” jelasnya.
Dalam perkembangan sama, Ramanan berkata, sejak 2024 beliau selaku Ahli Parlimen Sungai Buloh telah menyalurkan bantuan pendidikan melebihi RM1.2 juta kepada lebih 4,000 penduduk kawasan itu dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan.
Bantuan berkenaan meliputi Insentif Pendidikan Pelajar Cemerlang SPM, Bantuan Back To School, Bantuan Awal Persekolahan, Bantuan Pengajian Tinggi serta Program Tuisyen Rakyat.
Sementara itu, Ramanan turut mengumumkan pemberian 10,000 basikal buat penduduk Sungai Buloh yang akan mula diagihkan dalam tempoh tiga bulan akan datang.
“Kita beri kepada belia-belia di Sungai Buloh. Mungkin dalam masa tiga bulan sebab kita masih tunggu order (pesanan) nak sampai. Kita akan agihkan terus RM10,000 (dengan sekali edaran),” katanya. – KOSMO! ONLINE














