Rekod menunjukkan ramai guru menjadi mangsa scammer hingga mengakibatkan kerugian lebih RM10 juta sepanjang tiga bulan pertama tahun ini. - Gambar Janaan AI

RM10.56 juta duit guru ‘dikebas’ scammer

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Golongan guru kini menjadi sasaran sindiket scammer apabila mereka dilihat lebih mudah diperdaya dan dieksploitasi selain memiliki pendapatan tetap serta kedudukan kewangan stabil.

Berdasarkan rekod Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebanyak 424 kes penipuan dalam talian melibatkan guru direkodkan dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini dengan nilai kerugian mencecah RM10.56 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, Sarawak mencatatkan jumlah kerugian tertinggi lebih RM2.08 juta, diikuti Johor sebanyak RM1.9 juta dan Perak RM1.4 juta.

Menurutnya, Selangor pula mencatat jumlah kes tertinggi iaitu 71 kes.

“Kes penipuan kini nampaknya menyasarkan golongan pendidik. Trend ini menunjukkan peningkatan yang membimbangkan dan memerlukan perhatian serius semua pihak bagi menanganinya,” katanya kepada Kosmo!.
Beliau berkata, profesion guru yang sinonim dengan nilai integriti serta kepercayaan tinggi menjadikan mereka lebih mudah mempercayai sebarang tawaran atau arahan yang kelihatan sah.
“Guru-guru yang aktif menggunakan WhatsApp dan Telegram juga membuka ruang kepada penjenayah mendekati mereka melalui pelbagai modus operandi.

“Malah, kurang pendedahan terhadap taktik terbaharu seperti pelaburan palsu, ‘phone scam’ dan penipuan e-dagang menjadikan mereka lebih terdedah,” ujarnya.

Sebelum ini, Kosmo! melaporkan banyak kes melibatkan guru yang menjadi mangsa sindiket scammer dengan kerugian besar sehingga mencecah jutaan ringgit.

Dalam satu kejadian bulan lalu, seorang guru wanita di Raub kerugian RM431,000 selepas diperdaya individu menyamar sebagai pegawai takaful sebelum disambungkan kepada ‘pegawai polis’.

Mangsa diarahkan memindahkan wang kononnya bagi tujuan siasatan sehingga semua simpanannya lesap.

Selain itu, seorang pesara guru turut berdepan kerugian kira-kira RM1.01 juta selepas diperdaya sindiket melalui panggilan telefon yang mendakwa mangsa terlibat dalam penggubahan wang haram.

Dalam kes berasingan, seorang penjawat awam yang juga berlatar belakang sektor pendidikan dilaporkan kerugian lebih RM53,000 selepas diperdaya tiga sindiket scammer berbeza dalam tempoh kurang seminggu, termasuk penipuan pembelian kereta, penyamaran pegawai penyiasat dan tawaran pinjaman tidak wujud.

Sehubungan itu, Rusdi menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan sebarang tawaran yang menjanjikan pulangan lumayan dalam masa singkat.

Menurut beliau, orang ramai disaran membuat semakan terlebih dahulu dengan pihak berkuasa atau institusi kewangan berkaitan sebelum melakukan sebarang transaksi, selain tidak berkongsi maklumat peribadi seperti nombor akaun dan kata laluan kepada mana-mana pihak yang tidak dikenali.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN