KUALA LUMPUR – Kelab harus menjadikan kualiti sebagai keutamaan berbanding terlalu beri tumpuan untuk memenuhkan kuota import yang dibenarkan oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).
Ahli Lembaga Pengarah MFL, Mustaza Ahmad berpendapat isu kuota bukan perkara wajib tetapi pemilihan wajar dibuat secara teliti, bukannya sekadar tangkap muat.
“Bagi saya, sekarang bukan soal banyak atau sedikit kuota pemain import tetapi lebih kepada cara pemilihan pemain itu dibuat. Kalau kita tengok, ada kelab yang ambil pemain import lebih ramai tetapi prestasi di liga tidak memberangsangkan berbanding kelab yang kurang import.
“Kalau pemain yang diambil itu tidak berkualiti, tidak kira berapa ramai pun, tetap tidak membantu pasukan, tiada gunanya dan kelab pun tidak diwajibkan untuk penuhkan semua kuota yang ada,” katanya.
Sebelum ini, wujud gesaan yang meminta MFL mengkaji semula kuota import dan alasan ia mampu beri peluang kepada pemain tempatan menyerlahkan kemampuan.
Berdasarkan peraturan MFL, hanya enam pemain import dibenarkan berada di atas padang dalam satu masa meskipun kelab Liga Super dibenarkan mendaftar 15 pemain import.
Enam pemain import itu menerusi komposisi empat terbuka, satu Asia dan satu ASEAN, manakala tiga di bangku simpanan dalam setiap perlawanan.
Mustaza juga menjelaskan, cabaran sebenar ketika ini adalah bagaimana sesebuah pasukan menilai pemain import yang tepat dan memastikan kehadiran pemain asing sesuai dengan corak permainan dan keperluan pasukan. – KOSMO! ONLINE














