PETALING JAYA – Selangor FC kembali merampas kedudukan kedua Liga Super selepas membelasah Penang FC 4-0 pada aksi di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, sebentar tadi.
Kemenangan selesa itu membuktikan skuad kendalian Kim Pan-gon benar-benar memanfaatkan peluang untuk mendapatkan lebih banyak jaringan bagi dijadikan ‘bekal’ yang boleh dijadikan penentu sekiranya terikat mata dengan pencabar terdekat, Kuching City di hujung musim nanti.
Pada perlawanan kali ini, Hugo Boumous menjadi pemain paling cemerlang apabila menyumbangkan dua bantuan jaringan dan turut menghasilkan satu gol.
Segalanya seakan sempurna buat Selangor FC yang berjaya mendahului 2-0 menerusi Chrigor Moraes pada minit ke-11 dan Boumous, minit ke-15.
Selang enam minit selepas itu, kualiti hantaran Boumous terus membuahkan hasil buat The Red Giants, kali ini giliran Harith Haiqal Adam Afkar merobek gawang Penang FC.
Beberapa kelekaan pertahanan tuan rumah hampir mengundang padah namun pelawat harus menyalahkan diri sendiri kerana tidak mampu merangka gerakan lebih berkualiti.
Kira-kira 17 minit selepas aksi bersambung, Alvin Fortes yang dimasukan sebagai pemain gantian terus mempamerkan bisa apabila sepakan percumanya berjaya menghasilkan gol keempat tuan rumah.
Walaupun cuba menjelmakan sikap melawan, pemain Penang FC seakan tidak menemui jawapan untuk mendapatkan gol pertama.
Selangor FC kini sudah mengumpul 49 mata, berkelebihan dua mata berbanding The Cats yang masih kurang satu perlawanan. – KOSMO! ONLINE














