Pandemik Covid-19 menguji kemampuan sebenar jururawat sekali gus membuka mata masyarakat terhadap pengorbanan luar biasa golongan ini.

Jururawat: Wira barisan hadapan kian dilupakan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Hari Jururawat Sedunia yang bakal disambut pada 12 Mei ini bukan sekadar satu simbolik, malah merupakan pengiktirafan terhadap dedikasi pasukan barisan hadapan yang menjadi tulang belakang sistem kesihatan negara.

Krisis pandemik Covid-19 telah menguji kemampuan sebenar jururawat sekali gus membuka mata masyarakat terhadap pengorbanan luar biasa serta cabaran kritikal ditempuh golongan ini.

Masih segar dalam ingatan, sepanjang tempoh getir yang meragut banyak nyawa itu, jururawat terdedah dengan risiko jangkitan yang tinggi demi menyelamatkan pesakit.

Pengorbanan mereka bukan sedikit apabila perlu bertugas dalam tempoh yang panjang serta mengalami keletihan fizikal dan mental. Misi mereka ketika itu cuma satu, menyelamatkan pesakit seramai mungkin.

Pandemik turut mengubah landskap tugas jururawat. Selain penjagaan fizikal, mereka memainkan peranan penting dalam perkhidmatan digital dan transformasi penjagaan pesakit.

Jururawat onkologi hati misalnya kini banyak terlibat dalam rundingan melalui telefon, pendidikan, serta sesi kaunseling bagi keluarga pesakit yang terkesan akibat kelewatan diagnosis dan rawatan semasa gelombang pertama pandemik.

Bagi yang tidak tahu, idea sambutan Hari Jururawat Sedunia dicetuskan pegawai di Jabatan Kesihatan dan Perkhidmatan Manusia Amerika Syarikat, Dorothy Sutherland pada 1953 bagi memperingati jasa pengasas kejururawatan moden, Florence Nightingale dan dimulakan secara rasmi oleh Majlis Jururawat Antarabangsa (MJA) pada 1965.

Malaysia juga tidak terkecuali meraikan pengamal profesion ini. Cuma berdasarkan pemerhatian penulis, masyarakat semakin kurang menghargai jururawat.

Saban hari, ada sahaja kritikan dalam media sosial yang mempersoalkan cara jururawat melaksanakan tugas.

Kita mahu jururawat memberi tumpuan dan penjagaan ‘tip top’ kepada insan tersayang namun lupa bukan kita sahaja yang mahukan layanan begitu.

Hakikatnya, ramai sedia maklum jumlah pesakit ramai terutama di hospital sedangkan bilangan jururawat pula agak terhad, adalah mustahil untuk mereka memberi layanan seperti yang diharapkan.

Cuba letakkan diri kita ditempat mereka, adakah kita mampu melakukannya? Bukan sekadar merawat, tugas ini memerlukan tenaga yang banyak terutama untuk mengalih dan mengangkat pesakit.

Itu belum lagi sentuh lagi soal menggantikan tempat waris yang kadang lepas tangan mencuci berak kencing pesakit.

Beban mereka tidak hanya pada tugas klinikal apabila perlu melakukan kerja-kerja pentadbiran, dokumentasi dan banyak lagi.

Tidak dinafikan selagi bernama manusia, pasti ada antara jururawat yang culas atau bersikap kurang menyenangkan tetapi janganlah pukul sama rata. Masih ramai jururawat yang berdedikasi menggalas amanah.

Ringan-ringkanlah mulut ucapkan terima kasih kepada semua jururawat sebagai tanda penghargaan.Mereka aset sektor perubatan yang sangat berharga.
Selamat Hari Jururawat Sedunia!

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN