KUALA TERENGGANU – Seorang anak merayu bantuan orang ramai untuk menampung kos rawatan ibunya, Zainon Batin, 66, yang memerlukan pembedahan pintasan jantung segera pada Jun ini.
Setelah dua kali rebah akibat serangan jantung, harapan warga emas itu kini bergantung sepenuhnya kepada pembedahan yang dianggarkan menelan belanja RM50,000.
Muhammad Nor Faiz Baharom, 29, berkata, ibunya mengalami serangan jantung buat kali pertama padan bulan November tahun lalu.
“Waktu itu, ibu (Zainon) segera dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini bagi mendapatkan rawatan.
“Alhamdulillah ibu kembali stabil setelah menjalani prosedur angioplasti selain pemasangan dua stent pada saluran jantungnya yang tersumbat,” katanya ketika ditemui di rumah mereka di Kampung Tok Nasek di sini kelmarin.
Muhammad Nor Faiz berkata, tanpa mereka sangka, ibunya sekali lagi terkena serangan jantung kali kedua pada 20 Mac lalu.
Ketika itu katanya, prosedur untuk memasang stent ketiga ke saluran jantung wanita itu menemui kegagalan.
“Pakar perubatan HSNZ memberitahu prosedur itu tidak berjaya ekoran saluran jantung ibu yang terlalu sempit dan keras.
“Sebagai alternatif, mereka mencadangkan pembedahan pintasan jantung bagi membina laluan baharu aliran darah ke jantung menggunakan saluran darah dari bahagian dada,” katanya.
Muhammad Nor Faiz berkata, dua pusat perubatan iaitu Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur atau Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan, Pahang telah dicadangkan bagi pembedahan berkenaan.
Katanya, setakat ini, keluarganya cenderung memilih untuk melakukan pembedahan pintasan jantung di HTAA berikutan lokasinya lebih dekat dan kosnya juga berpatutan.
“Kami sekeluarga sedang berusaha mengumpul duit RM50,000 bagi membolehkan ibu menjalani pembedahan pada bulan depan,” katanya.
Oang ramai yang bersimpati boleh menghulurkan bantuan ke akaun bank Zainon bernombor 88300023388704 (Bank Islam) atau menghubungi abang Muhammad Nor Faiz, Muhammad Nor Firuddin di talian 018-9047836.














