KUALA LUMPUR – Seorang buruh binaan warga Bangladesh dipenjara enam bulan dan didenda RM15,100 oleh empat Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas lima pertuduhan mencabul lima wanita, bulan lalu.
Tertuduh, Md. Romjan Ali, 41, dijatuhi hukuman itu selepas mengaku bersalah di hadapan Majistret Aina Azahra Arifin, Faezahnoor Hassan, Nurul Izzah Hasan Basri dan Farah Nabihah Muhamad Dan.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa mencabul kehormatan kesemua mangsa termasuk seorang wanita warga Jerman dengan pelbagai cara termasuk memeluk dan menyentuh badan mangsa yang berusia 21 dan 28 tahun.
Kesalahan dilakukan di dalam tren di stesen transit aliran massa (MRT) Maluri dan Taman Midah dan kawasan sekitar stesen pengangkutan awam itu serta laluan pejalan kaki di stesen transit aliran ringan (LRT) Chan Sow Lin antara 10 dan 25 April lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan atau kedua-dua sekali.
Di hadapan Aina Azahra, Md. Romjan dihukum penjara tiga minggu bermula dari tarikh tangkapan pada 27 April lalu dan denda RM3,500 atau empat bulan penjara, manakala di hadapan Faezahnoor, lelaki itu dipenjara tiga bulan serta denda RM3,000 atau tiga bulan penjara.
Bagi pertuduhan ketiga di hadapan Nuzul Izzah, tertuduh dipenjara enam bulan bermula hari ini serta denda RM3,600 atau enam bulan penjara, manakala di hadapan Farah Nabihah dia didenda RM5,000 atau tiga bulan penjara.
Oleh itu, Md. Romjan perlu menjalani tempoh pemenjaraan selama enam bulan dan denda keseluruhan RM15,100.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Hench Goh, Nurainizatul Farhana Zainal dan Nur Farhana Mohamad Poad serta Pegawai Pendakwa Inspektor M. Alli Nangai dan Inspektor M. Naresh Kumar .
Pihak pendakwaan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal berbentuk pengajaran dengan mengambil kira kepentingan awam melebihi kepentingan tertuduh.
Peguam T. Chandrasegaran bagaimanapun memohon hukuman berbentuk denda ringan atas alasan anak guamnya mempunyai tanggungan di negara asal selain telah insaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan sama. – KOSMO! ONLINE














