PETALING JAYA – Hujan lebat petang ini menyebabkan dua lebuh raya utama di Lembah Klang mengalami kesesakan teruk susulan kejadian banjir kilat yang menjejaskan aliran trafik.
Kejadian pertama dilaporkan kira-kira pukul 4.14 petang di Lebuh Raya Baru Pantai (NPE) melibatkan laluan Kuchai Link menuju ke lebuh raya tersebut.
Maklumat awal menunjukkan semua lorong terhalang selepas air naik mendadak sehingga menyebabkan kenderaan tidak dapat melalui kawasan berkenaan.
Sementara itu, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menerusi hantaran di media sosial memaklumkan satu lagi kejadian banjir kilat berlaku di Lebuh Raya Shah Alam (Kesas) Kilometer 48.0 berhampiran Persimpangan Awan Besar arah timur dari Kinrara.
Menurut LLM, semua lorong di lokasi terbabit turut ditutup sepenuhnya sekali gus menyebabkan kesesakan trafik sejauh kira-kira empat kilometer.
“Pengguna lebuh raya dinasihatkan supaya lebih berwaspada, mematuhi arahan pihak berkuasa dan mempertimbangkan laluan alternatif bagi mengelakkan terperangkap dalam kesesakan.
“Setakat ini tiada laporan kemalangan atau kecederaan diterima, namun keadaan trafik dijangka terus terjejas selagi air belum surut,” katanya. – KOSMO! ONLINE














