KAJANG – Polis menahan seorang lelaki yang dipercayai memukul bekas isterinya dalam kejadian di kawasan parkir awam berhampiran Balai Polis Bandar Baru Bangi, di sini.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima laporan kejadian susulan rakaman video kejadian itu tular di media sosial pada pukul 2.51 petang semalam.
Menurut beliau, hasil siasatan membawa kepada penahanan suspek berusia lingkungan 20-an yang bekerja sebagai pemandu e-hailing pada pukul 6.20 petang tadi.
“Suspek yang merupakan bekas suami mangsa dipercayai terlibat dalam kejadian tersebut.
“Lelaki itu akan dibawa ke Mahkamah Bandar Baru Bangi, esok bagi mendapatkan perintah reman untuk membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Naazron berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Afiq Rifdi Mohd. Azmi di talian 011-29667474 bagi membantu siasatan,” ujarnya.
Terdahulu, satu rakaman video yang memaparkan seorang wanita dipukul seorang lelaki di kawasan parkir awam berhampiran balai polis berkenaan tular di platform Threads dan mengundang pelbagai reaksi netizen. – KOSMO! ONLINE














