PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir melibatkan beberapa kawasan di Semenanjung dan Sarawak yang dijangka berterusan sehingga pukul 3 petang ini.
MetMalaysia dalam kenyataan memaklumkan, antara negeri yang terlibat ialah Perlis, selain beberapa daerah di Kedah iaitu Langkawi, Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Padang Terap, Yan, Pendang, Kuala Muda, Kulim dan Bandar Baharu.
Amaran sama turut melibatkan kawasan Seberang Perai Utara, Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan di Pulau Pinang serta daerah Kerian dan Larut, Matang dan Selama di Perak.
“Di Pantai Timur dan Selatan Semenanjung, cuaca buruk dijangka melanda Jempol, Negeri Sembilan serta beberapa daerah di Johor melibatkan Segamat, Muar, Batu Pahat, Kluang, Pontian, Kulai dan Johor Bahru.
“Sementara itu di Sarawak, kawasan yang dijangka mengalami ribut petir, hujan lebat dan angin kencang ialah Lundu (Kuching), Sri Aman, Sarikei, Sibu, Mukah dan Song (Kapit),” lapor MetMalaysia.
Menurut MetMalaysia, amaran ribut petir dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda hujan berintensiti melebihi 20 milimeter sejam yang hampir berlaku atau dijangka berterusan melebihi satu jam.
“Amaran ribut petir merupakan amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam bagi setiap keluaran,” katanya.
Tambahnya, orang ramai di kawasan terlibat dinasihatkan supaya lebih berwaspada dan mengelakkan aktiviti luar sepanjang tempoh cuaca buruk berkenaan. – KOSMO! ONLINE














