PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir susulan jangkaan hujan lebat di Johor, Sarawak dan Labuan hingga pukul 1 tengah hari ini.
MetMalaysia dalam kenyataannya berkata, di Semenanjung, kawasan yang dijangka terlibat adalah Batu Pahat, Pontian, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru di Johor.
“Hujan lebat turut diramal berlaku di Sarawak melibatkan Miri (Beluru dan Marudi) dan Limbang (Limbang),” katanya.
Di Sarawak, cuaca buruk dijangka turut melanda Kuching (Lundu), Samarahan (Simunjan) dan Betong.
Cuaca buruk itu dijangka berlaku di seluruh Labuan.
MetMalaysia memaklumkan, amaran hujan lebat dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter sejam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
Jelasnya, amaran tersebut adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran. – KOSMO! ONLINE














