PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir susulan jangkaan hujan lebat di beberapa kawasan di Semenanjung, Sabah dan Sarawak hingga pukul 5 petang ini.
MetMalaysia dalam kenyataannya memaklumkan, di Semenanjung, kawasan yang dijangka terlibat adalah seluruh Perlis, Kedah (Kubang Pasu, Kota Setar, Yan, Kuala Muda, Baling, Kulim dan Bandar Baharu), Pulau Pinang, Perak, Kelantan (Jeli, Machang, Pasir Puteh, Kuala Krai dan Gua Musang) dan Terengganu (Besut, Setiu dan Hulu Terengganu).
“Hujan lebat turut diramal berlaku di Pahang (Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Raub, Bentong dan Rompin), Selangor (Sabak Bernam, Hulu Selangor, Gombak, Petaling, Hulu Langat dan Sepang), Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan (Seremban, Port Dickson dan Rembau) dan Johor (Segamat),” katanya.
Di Sarawak, cuaca buruk dijangka turut melanda Kuching (Lundu), Samarahan (Simunjan) dan Betong.
Di Sabah, amaran hujan lebat melibatkan kawasan Pedalaman (Kuala Penyu, Beaufort dan Tambunan), Pantai Barat dan Kudat (Kota Marudu dan Kudat).
MetMalaysia memaklumkan, amaran hujan lebat dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter sejam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
Jelasnya, amaran tersebut adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran. – KOSMO! ONLINE













