KUALA LUMPUR – “Innuendo masih kekal bertiga, cuma Sam di Sarawak, tak dapat sertai kami.”
Itu penjelasan seorang daripada ahli kumpulan vokal harmoni Innuendo, Pot mengenai ketiadaan rakan mereka, Sam pada sidang media Konsert Soul City – An R&B Night semalam.
Pada majlis yang mewar-warkan persembahan mega membabitkan tiga grup serta seorang penyanyi pop R&B itu, trio terbabit hanya diwakili Pot atau nama sebenarnya, Saiful Amir Abd Wahab bersama Taj (Ahmad Tajuddin Mohamed Tahir).
Menurut Pot, 54, Sam tidak pernah keluar daripada kumpulan tersebut, cuma faktor logistik serta tuntutan tugas membuatkannya sukar ‘turun’ ke Kuala Lumpur.
“Kami berdua pun memahami kekangan memandangkan dia sudah tinggal di Kuching, Sarawak bersama keluarganya.
“Kita tengok nanti macam mana. Apa pun kemungkinan, saya dan Taj sudah bersedia untuk tampil di Unifi Arena Bukit Jalil, 10 Julai depan,” katanya selepas pengumuman konsert Soul City – An R&B Night, semalam
Dianjurkan Menara Network Sdn Bhd, persembahan mega itu bakal menggabungkan Innuendo, Ruffedge, The Fabulous Catsserta Lah Ahmad di pentas sama.
Mengenai kemungkinan sama ada menggunakan khidmat penyanyi lain bagi menggantikan Sam buat sementara waktu, akui Taj tiada keperluan untuk itu.
“Sebenarnya kami sedia memenuhi tawaran menyertai konsert ini disebabkan ada barisan pejuang genre R&B lain yang sudah kami anggap bagai saudara sendiri apatah lagi kami sudah bertahun-tahun berkawan.
“Sebelum ini pun sudah banyak kali kami sepentas. Jadi untuk konsert ini ada mereka yang lain pun sudah cukup. Konsep yang macam mana, kita tunggu sahaja pada malam itu.
Mengulas lagi mengenai Soul City – An R&B Night, kata Pot gabungan dua generasi pejuang R&B lokal ini diharap mampu menarik kehadiran ramai penggemar genre ini.
“Sebenarnya kami masih aktif dalam arena muzik, cuma mungkin tiada produk baharu jadi orang sangka Innuendo menyepi.
“Pastinya konsert mega ini mampu mencetuskan momentum kepada genre yang mempunyai tempat tersendiri di hati pendengar untuk terus menjadi pilihan khalayak,” ujarnya.
Berkenaan persembahan, ulas Taj, setakat ini berdasarkan durasi masa setiap grup dijangkakan dapat menyampaikan sekitar enam hingga ke lapan dendangan.
Terdahulu, kumpulan yang ditubuhkan pada 1992 itu dengan empat anggota termasuk Reymee memilih haluan berbeza sekitar awal 2000.
Sepanjang menyinari dunia muzik tanah air, kuartet yang mempunyai deretan lagu hits serta peminat tegar itu pernah mencipta fenomena tersendiri hingga digelar sebagai Boyz II Men Malaysia.
Selepas rakan seperjuangan mereka, Reymee memilih untuk fokus terhadap perniagaan, Taj, Pot dan Sam meneruskan perjuangan namun evolusi muzik semasa membuatkan nama Innuendo tenggelam. – KOSMO! ONLINE














