PETALING JAYA – Industri semikonduktor global dijangka melepasi AS$1 trilion (RM3.95 trilion) menjelang 2030, didorong oleh ledakan kecerdasan buatan (AI), pusat data, kenderaan elektrik dan teknologi autonomi.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata Malaysia berada pada kedudukan strategik untuk memanfaatkan pertumbuhan tersebut.
Katanya, ia didorong oleh kestabilan dasar, keupayaan pembuatan, tenaga kerja mahir serta peranan negara sebagai rakan yang dipercayai dalam ekosistem global.
“Melalui National Semiconductor Strategy (NSS), Malaysia komited untuk bergerak daripada kuantiti kepada nilai dengan memperkukuh reka bentuk litar bersepadu (Integrated Circuit), pembungkusan cip termaju, R&D, serta pembangunan bakat tempatan.
“Sasaran kita jelas iaitu membina ekosistem semikonduktor yang lebih mendalam, lebih bernilai tinggi dan mampu melahirkan 60,000 jurutera berkemahiran tinggi menjelang 2030,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Semalam, beliau merasmikan SEMICON Asia Tenggara 2026 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur.
Johari berkata, penganjuran acara itu sekali lagi meletakkan Malaysia sebagai hab penting dalam rantaian nilai semikonduktor global.
“Penganjuran edisi kesembilan ini di Malaysia mencerminkan keyakinan industri terhadap keupayaan negara dalam sektor bernilai tinggi ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE














