PETALING JAYA – Pemergian seniman veteran, Jalil Hamid, hari ini disifatkan sebagai satu kehilangan besar buat industri seni tanah air yang telah lama disinari bakatnya.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, Allahyarham merupakan seorang penghibur yang tidak asing dalam dunia lakonan dan nyanyian.
“Kita kehilangan sebutir lagi permata industri seni tanah air hari ini. Saudara Jalil Hamid merupakan seorang seniman yang tidak asing dalam dunia lakonan dan nyanyian sejak lebih empat dekad lalu.
“Beliau merupakan penghibur yang unik dengan gaya dan bakat tersendiri. Segala jasa, bakti dan sumbangannya akan sentiasa dikenang,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Beliau turut merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham serta rakan-rakan seperjuangan.
“Takziah buat seluruh ahli keluarga, sahabat handai dan rakan-rakan seperjuangan Allahyarham. Semoga mereka diberi kekuatan dan kesabaran dalam menghadapi kehilangan ini.
“Sama-sama kita doakan agar rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman,” ujarnya.
Terdahulu Kosmo!, melaporkan Jalil disahkan meninggal dunia dalam tidur selepas bertarung dengan masalah jantung.
Berita tersebut disahkan anak perempuannya, Afiqah Jalil yang mendapati ayahnya tidak sedarkan diri kira-kira pukul 12 tengah hari tadi. – KOSMO! ONLINE














