fbpx
ABDUL LATIF menggunakan teknologi AI untuk memantau perkembangan kesihatan, ubat-ubatan dan permakanan lembu ternakannya agar ia terus berdaya saing dalam industri mencabar ini.

Pesara TLDM guna AI untuk ternakan ruminan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TAPAH – Berbekalkan minat mendalam dalam dunia penternakan lembu dan kambing selain niat membekalkan stok daging tempatan bermutu kepada pelanggan membuatkan seorang pesara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dengan jawatan akhir sebagai laskar kanan nekad menjadikan perniagaan tersebut sebagai teras pendapatan utama.

Malah pemilik Latiff Farm Resources Sungai Lesong, Abdul Latif Abd. Rashid, 43, turut mengaplikasikan sistem menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk merekodkan status ke semua haiwan ternakan, suhu dan situasi semasa kawasan kandang bagi mengelak berlaku sebarang kecurian.

“Sebenarnya, ia lebih mudah kerana kosnya tidak begitu tinggi namun saya mempunyai rekod data bilangan haiwan keadaan kesihatan semasa.

“Data itu bersifat lengkap untuk memastikan berat lembu yang ideal sesuai bagi jualan,” katanya kepada Kosmo! ketika ditemui di Kampung Sungai Lesong, Tapah baru-baru ini.

Abdul Latif berkata, data yang merekodkan kuantiti makanan semasa yang sesuai untuk lembu ternakannya adalah penting bagi memastikan pemakanan yang mencukupi untuk menghasilkan daging berkualiti tinggi kepada pelanggan.

Rekod itu juga menunjukkan tahap kesihatan lembunya yang sentiasa terjaga daripada penyakit serta ubat-ubatan yang sesuai bagi memastikan haiwan itu sentiasa sihat.

Tambah beliau, bagi memastikan kualiti daging bagi kira-kira 50 ekor lembu iaitu jenis Charolais, KK Cross, Brahman dan 15 ekor kambing Boer dan kampung itu, rutin memberi makanan haiwan yang berkualiti juga perlu dipantau agar ia adalah bijiran jagung serta dedak.

Abdul Latif menjelaskan, semua ternakan ditempatkan di kawasan kandang berpagar yang luas supaya tidak berlaku sebarang isu mengenai keselamatan penduduk kampung selain tidak merosakkan harta mereka.

“Jualan kasar tahunan boleh mencecah enam angka sementara pendapatan bersih secara purata ialah empat angka sebulan.

“Saya menternak lembu dan jadi terlibat dalam aktiviti ‘trading’ lembu supaya dapat mengimbangi kos.

“Trading lebih cepat memberi pulangan berbanding perlu membela seekor lembu sejak kecil yang memerlukan perbelanjaan tinggi,” katanya.

Dalam mengoperasikan perniagaan tersebut, beliau turut mendapat bantuan berterusan daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) berbentuk khidmat nasihat, tunjuk ajar, promosi dan pemasaran.

“Saya juga mendapat bantuan sepuluh ekor lembu betina dan seekor jantan untuk memperkembangkan lagi ternakan selain memastikan bekalan daging tempatan sentiasa mencukupi untuk keperluan pengguna.

“Selain itu, Pejabat Daerah dan Tanah Batang Padang dan Majlis Daerah Tapah membantu menyediakan infrastruktur yang lengkap seperti kemudahan awam iaitu jalan, tempat meletak kenderaan, utiliti dan promosi,” katanya.

Perkembangan ini selari dengan pelan Perak Sejahtera 2030 di bawah Niche Daerah Batang Padang sebagai Pusat Pengedaran Pertanian ASEAN iaitu Agromakanan Perak – Lembah Makanan Negara.

Ia juga menepati Flagship pertama Perak Sejahtera 2030 iaitu Lembah Bakul Makanan Malaysia (Sekuriti Makanan) dan Flagship kelima iaitu Program Pembolehdayaan Modal Insan & Pembelajaran Sepanjang Hayat – 1 Keluarga 1 Usahawan hasil cetusan berwawasan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad bagi membawa negeri ke arah kemajuan. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN