Jika dahulu aplikasi suntingan wajah sering dikaitkan dengan golongan remaja, kini trend itu semakin menular dalam kalangan individu berusia 50 tahun ke atas yang obses ‘mengubah’ wajah dan tubuh mereka menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI).
Aplikasi seperti Facetune, YouCam Perfect dan Picsart memudahkan pengguna menyunting wajah hanya dengan satu sentuhan untuk nampak kulit licih, dagu tirus hinggalah usia tua mereka kelihatan 20 tahun lebih muda.
Fenomena ini berkembang menjadi satu budaya baharu sebahagian warga emas digital kerana mahu tampil lebih muda, cantik, malah ada yang berani ‘tayang’ watak seksi di media sosial, bukan satu gambar, malah lebih lima gambar dimuat naik sehari.
Menurut Pakar Psikologi dan Kaunseling Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof. Madya Dr. Fauziah Mohd. Saad, fenomena ini boleh dikaitkan dengan konsep fear of aging iaitu ketakutan terhadap proses penuaan yang bukan hanya melibatkan perubahan fizikal, tetapi juga rasa hilang nilai diri dan relevansi sosial.
“Dengan AI, individu boleh ‘melawan realiti’ dengan mencipta versi diri yang lebih muda, cantik dan ideal,” katanya kepada Kosmo!.
Katanya, golongan berusia kini semakin cenderung menggunakan AI atas beberapa faktor psikologi seperti keinginan untuk kekal relevan dalam dunia media sosial, perbandingan sosial dengan individu lain yang kelihatan lebih muda serta keperluan mendapatkan validasi melalui likes (tanda suka) dan komen.
“Penggunaan AI bukan sekadar suka-suka, sebaliknya berkait rapat dengan keperluan emosi yang tidak dipenuhi termasuk rasa ingin dihargai, meningkatkan harga diri sementara serta escapism atau pelarian daripada realiti sebenar.
“Mereka takut dilupakan, takut tak menarik dan takut hilang nilai dalam masyarakat. Ia refleksi krisis penerimaan diri dan keperluan emosi dalam era media sosial,” katanya.
Sementara itu, satu kajian bertajuk ‘Understanding Older Adults’ Perceptions and Challenges in Using AI-enabled Everyday Technologies’ menunjukkan warga emas semakin terbuka dan bersemangat menggunakan teknologi AI walaupun pada awalnya berdepan cabaran teknikal.
Perkembangan ini membuktikan jurang digital semakin mengecil, namun dalam masa sama membuka ruang kepada obsesi baharu terhadap imej diri yang ideal.
Dalam konteks lebih membimbangkan, penulis mengingatkan orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan gambar wajah AI kerana takut ia mungkin satu ‘perangkap’.
Mempunyai pandangan sama, Fauziah berkata, ada segelintir individu yang menyalahgunakan teknologi ini untuk menipu, termasuk menyamar sebagai individu lain, memperdaya emosi mangsa atau menjalankan penipuan dalam talian.
“Memang ada pakai kesan khas apabila ambil gambar, buat video termasuk sunting gambar guna AI untuk nak nampak cantik, lebih yakin…tapi tidak dinafikan ada juga ambil kesempatan untuk tujuan manipulasi dan penipuan. Ubah wajah 360 darjah secara digital nak perdaya mangsa.
“Misalnya menyamar sebagai individu lain untuk memikat mangsa, membina kepercayaan palsu, sebelum mengambil kesempatan,” katanya.














