fbpx
ANUAR membungkus nasi lemak 50 sen yang masih dijual pada harga sama di warung miliknya di Jalan Bukit Tembakau, Umbai semalam.

‘Dulu jual 30 sen kini 50 sen’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JASIN – Sebuah warung di Jalan Bukit Tembakau, Umbai masih mengekalkan harga nasi lemak 50 sen sebungkus walaupun berdepan kos bahan mentah yang tidak menentu.

Pemilik warung, Anuar Md. Sani, 54, berkata, meskipun harga santan, beras, gula dan daun pisang semakin mahal, dia tetap nekad mengekalkan harga murah itu demi membantu pelanggan tetapnya yang kebanyakannya terdiri daripada penduduk kampung, nelayan dan pekerja sekitar.

Menurutnya, warung milik keluarganya itu sudah beroperasi hampir separuh abad sejak zaman ibu bapanya lagi, malah, nasi lemak pernah dijual pada harga hanya 30 sen sebungkus.

“Dulu masa arwah orang tua saya berniaga, harga nasi lemak cuma 30 sen. Bila saya ambil alih sejak kira-kira 20 tahun lalu, saya naikkan sedikit kepada 50 sen dan kekalkan sampai sekarang.

“Bukan nasi lemak sahaja, semua minuman di warung ini pun saya jual RM1 sahaja walaupun harga barang makin naik,” kata­nya kepada Kosmo! Ahad ketika ditemui di warungnya di Umbai, di sini semalam.

Kata Anuar, dia tidak pernah terfikir untuk menaikkan harga kerana harga murah itu menjadi daya tarikan utama pelanggan ke warung tersebut.

“Ramai datang beli nasi lemak 50 sen, kemudian mereka tambah lauk lain atau beli minuman. Jadi nasi lemak ini macam tarikan utama kami. Walaupun untung tak besar, saya puas hati bila dapat bantu orang kampung, nelayan dan pekerja dapat makan pada harga berpatutan,” katanya.

Tambahnya, warung itu menjual lebih 200 bungkus nasi lemak setiap hari dan mula beroperasi dari pukul 7 pagi hingga 3 petang setiap hari kecuali Jumaat.

Selain nasi lemak biasa, warung itu turut menawarkan nasi lemak beras basmathi pada harga RM2.50 serta pelbagai lauk makan tengah hari seperti asam pedas kepala ikan, ikan patin masak lemak dan belangkas masak lemak.

“Pelanggan saya terdiri daripada pelanggan tetap, sebab harga nasi lemak 50 sen,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN