fbpx
Suasana festival pesta air yang menjadi kontroversi di Kuala Lumpur kelmarin.

Rain Rave, antara tuntutan ekonomi, persoalan nilai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PENGANJURAN Rain Rave Water Music Festival 2026 di Bukit Bintang yang tetap diteruskan meskipun ibaratnya dibantah ‘satu Malaya’. Di situ sahaja, ada pertembungan ketara antara aspirasi ekonomi moden dengan sensitiviti agama dan nilai budaya tempatan.

Apabila acara sebegitu dianjurkan di tengah ibu kota dengan sajian hiburan ekstrem, muzik elektronik, pesta air dan gaya sosial bebas, semua itu mencetuskan persoalan, apakah wajah sebenar Malaysia yang mahu dipamerkan kepada dunia?

Bantahan yang timbul bukan sekadar reaksi konservatif yang menolak hiburan secara total, sebaliknya impak kebimbangan terhadap normalisasi budaya hedonisme yang boleh menghakis nilai yang selama ini tunjang identiti negara. Acara sedemikian sering dikaitkan dengan ruang sosial yang longgar kawalan.

Di pesta terbuka, risiko berlakunya pergaulan bebas, penyalahgunaan bahan terlarang, pengabaian batas moral dan perilaku melampaui norma menjadi kebimbangan yang sukar dinafikan.

Lebih membimbangkan, apabila acara yang dipromosikan secara agresif dan ‘halal’ melalui sokongan institusi tertentu, mesej yang sampai kepada generasi muda adalah gaya hidup sebegitu bukan lagi sesuatu yang dipersoalkan, malah diraikan sebagai lambang kemodenan.

Di sinilah letaknya implikasi jangka panjang. Kerosakan moral tidak berlaku secara mendadak sebaliknya bermula melalui proses normalisasi perlahan tetapi konsisten.

Apabila sesuatu yang dahulunya dianggap melampau mula diterima atas nama hiburan dan kebebasan, masyarakat semakin hilang sensitiviti terhadap nilai yang pernah dipertahankan. Namun, menolak penganjuran Rain Rave secara total tanpa melihat signifikannya terhadap ekonomi juga merupakan penilaian yang kurang adil.

Realitinya, industri festival, hiburan dan pelancongan merupakan antara pemacu penting ekonomi kreatif global.

Acara berskala besar sebegitu mampu menarik pelancong domestik dan antarabangsa, meningkatkan tempahan hotel, merancakkan sektor jualan dan peruncitan serta membuka peluang pekerjaan sementara kepada ratusan pekerja acara.

Bukit Bintang sebagai nadi pelancongan Kuala Lumpur sememangnya memerlukan tarikan baharu untuk kekal kompetitif di mata dunia. Dalam era pasca pandemik, negara memerlukan pendekatan kreatif bagi merangsang semula sektor pelancongan dan menjadikan Malaysia destinasi yang relevan kepada pelancong global.

Persoalannya bukan sama ada acara seperti ini patut diadakan atau tidak. Persoalan sebenar adalah bagaimana festival mega tersebut seharusnya dilaksanakan.

Malaysia tidak harus menutup pintu kepada kemajuan industri pelancongan hiburan hanya kerana takutkan perubahan. Dalam keterbukaan juga, kita tidak boleh menggadaikan identiti budaya demi keuntungan jangka pendek.

Kemajuan sebenar adalah apabila kita mampu menyeimbangkan tuntutan ekonomi dengan maruah budaya dan agama. Rain Rave sepatutnya cerminan kebijaksanaan itu, bukan simbol kegagalan menentukan sempadan antara hiburan dan keterlanjuran sosial.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN