CYBERJAYA- Pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berpeluang menerokai bidang digital dan kecerdasan buatan (AI) melalui kursus pengajian itu yang ditawarkan di Universiti Multimedia (MMU).
Program pengajian itu adalah bertepatan dengan keperluan industri pada masa depan sekali gus membuka peluang lebih luas berhubung kebolehpasaran graduan selepas tamat pengajian.
Presiden MMU, Prof. Datuk Dr. Mazliham Mohd Su’ud berkata, orang ramai khususnya ibu bapa dan pelajar boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai semua program pengajian yang ditawarkan di MMU melalui Hari Terbuka 2026.
Katanya, ia diadakan pada Sabtu dan Ahad ini di Kampus Melaka, manakala pada 23 dan 24 Mei depan di Kampus Cyberjaya.
“Hari Terbuka MMU adalah acara tahunan sebagai platform penting untuk pengunjung mendapatkan maklumat secara menyeluruh mengenai peluang pendidikan, kursus yang ditawarkan, meninjau kemudahan kampus serta merasai persekitaran pembelajaran kondusif dan berteknologi tinggi di MMU.
“Para pengunjung berpeluang mendapatkan sesi konsultasi akademik dan berinteraksi dengan pensyarah untuk mendapatkan penerangan mengenai program pengajian yang ditawarkan di MMU,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Selain bidang AI dan Digital, turut ditawatkan ialah kursus Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT), Multimedia Kreatif, Kejuruteraan serta Perniagaan & Pengurusan.
MMU juga menawarkan program dalam bidang Seni Sinematik, Perakaunan, Undang-undang dan Komunikasi Strategik di peringkat Asasi, Diploma, Sarjana Muda dan Pascasiswazah.
MMU turut menawarkan rogram baharu seperti Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) dalam Kecerdasan Buatan Gunaan di kampus Cyberjaya dan Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Kepujian) dalam Kecerdasan Buatan dan Sarjana Teknologi Maklumat dalam Kecerdasan Buatan dan Keselamatan Siber yang ditawarkan oleh Fakulti Sains dan Teknologi Maklumat di kampus Melaka.
“Kami mengalu-alukan para pengunjung untuk berkunjung ke MMU Land untuk melihat sendiri keunikan persekitaran pembelajaran di MMU.
“Pengalaman ini amat penting dalam membantu pelajar dan ibu bapa membuat keputusan yang tepat mengenai masa depan pendidikan mereka,” katanya. – KOSMO! ONLINE














