fbpx
PELAKON, Alif (kanan) ketika bersaing dengan para peserta dalam salah satu pusingan larian velocity.

Cabaran intensiti larian velocity

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ACARA larian semakin berkembang dengan pelbagai format baharu yang bukan sahaja mencabar keupayaan fizikal, tetapi juga mental. 

Antara konsep yang semakin mendapat perhatian ialah larian velocity (velocity run) atau larian berintensiti tinggi yang menekankan kelajuan, kawalan dan strategi. 

Berkongsi pengalaman menyertai larian velocity menerusi acara UA Velociti Race anjuran Under Armour di Malaysia, pelakon, Alif Muhaimin memberitahu penyertaannya dalam acara ini didorong oleh keinginan untuk mencuba cabaran baharu dalam persekitaran larian yang lebih dinamik. 

“Saya melakukan persiapan rapi melalui latihan interval dan kekuatan, selain mendapat sokongan moral daripada keluarga serta komuniti larian. 

“Walaupun berdepan tekanan pada pusingan pertama, saya berjaya mengawal pernafasan dan mengekalkan strategi larian,” katanya ketika ditemu bual CitaRasa pada acara UA Velociti Race di Arena Sukan Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tambahnya yang juga merupakan duta Under Armour, persiapan tersebut sekali gus membolehkan dia mencatat masa peribadi 6 minit 13 saat yang juga lebih baik daripada sasaran awal.

UA Velociti Race menggunakan format larian jarak satu batu (1.6 kilometer) yang dibahagikan kepada empat pusingan. Bagi setiap pusingan, mereka berlumba mencatat masa peribadi terbaik pada larian sejauh 400 meter sebelum melalui sesi interval berupa latihan-latihan seperti joging dan teknik-teknik tertentu yang akan memperlaju larian pada pusingan berikutnya.

Pemenang dikira mengikut masa terpantas yang berjaya dicatatkan dalam kalangan peserta bagi keseluruhan satu batu larian.

ANTARA peserta yang menyertai larian velocity UA Velociti Race di Arena Sukan Kuala Lumpur baru-baru ini.

Salah seorang peserta larian, Thompson Goh melihat Velociti Race sebagai platform santai tetapi mencabar. 

“Walaupun mengalami keletihan otot akibat latihan intensif sebelum perlumbaan, saya memilih untuk menikmati setiap detik larian tanpa tekanan sasaran masa.

“Bagi saya, kekuatan mental dan sikap konsisten menjadi kunci untuk menamatkan perlumbaan dengan baik,” ujarnya.

Berkongsi teknikal larian velocity, pengasas komuniti kecergasan dan prestasi dalam larian, Kelab Prestasi Ciphr, Brandon Porle memberitahu aktiviti itu merupakan latihan larian berstruktur dan berintensiti tinggi yang memberi fokus kepada kelajuan serta kawalan dalam jarak pendek. 

Katanya, berbeza dengan larian biasa yang menekankan jarak, larian velocity menuntut pelari untuk mengawal rentak, meningkatkan toleransi asid laktik dan membina disiplin mental ketika berdepan ketidakselesaan fizikal.

“Ia bukan sahaja membantu meningkatkan kelajuan, malah turut menyumbang kepada kecekapan aerobik (keupayaan badan menggunakan oksigen untuk mengekalkan larian) dan daya tahan mental,” jelasnya.

Namun, Brandon menegaskan bahawa pemanasan badan dan penyejukan selepas latihan adalah aspek kritikal bagi mengelakkan kecederaan, selain memastikan proses pemulihan berjalan dengan baik.

BIARPUN mengalami keletihan otot akibat latihan intensif, Thompson menikmati setiap detik larian.

Selain aspek teknikal, kekuatan komuniti turut menjadi nadi utama dalam acara seperti Velociti Race. 

Sorakan dan sokongan daripada rakan pelari bukan sahaja memberi dorongan emosi, malah membantu peserta mengekalkan momentum hingga ke garisan penamat. 

Pengarah Komersial Under Armour Malaysia, Samantha Lim berkata, konsep Velociti Race diinspirasikan daripada idea ‘No Invitation Needed’, iaitu menggalakkan sesiapa sahaja untuk mencabar had diri sendiri tanpa mengira tahap kecergasan. 

“Format unik satu batu (1.6 kilometer) yang dibahagikan kepada empat pusingan mewujudkan suasana seakan stadium (larian satu pusingan balapan 400 meter), penuh tenaga dan kompetitif, namun masih inklusif untuk semua lapisan pelari, daripada pemula hingga atlet berpengalaman.

“Ia sekali gus memperkenalkan pengalaman larian berbeza kepada komuniti pelari tempatan dan bukan sekadar trend kecergasan, tetapi satu pendekatan latihan yang efektif untuk meningkatkan prestasi larian secara menyeluruh,” kongsinya.

Ujarnya lagi, melalui acara seperti UA Velociti Race, konsep ini berjaya diketengahkan kepada khalayak lebih luas, sekali gus menggalakkan lebih ramai individu untuk mencabar diri, membina disiplin dan menikmati pengalaman larian yang lebih bermakna.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN