Kesukaran untuk menjejaki spesies ini bukan sekadar terletak pada lokasi, tetapi memerlukan perancangan rapi.
Faktor seperti jadual pasang surut air memainkan peranan penting dalam menentukan kejayaan trip.
Sungai Kalabakan ini dekat dengan kampung saya di Pulau Sebatik, jadi peluang memancing semasa cuti tidak dipersia-siakan.
Sudah tentu, ayah saya sendiri menjadi tekong untuk trip kali ini.
Hari pertama
Apabila turun untuk menduga ‘raja muara’ ini, saya kebiasaannya berbekalkan dua set pancing iaitu set medium heavy untuk mengilat (casting) gewang saiz lapan sentimeter ke bawah dan set heavy untuk menunda (trolling) gewang selaman dalam seperti Evergreen Gold Digger 600, Zerek Tango Shad 89, Ofmer X-Deep 85, Opass De Minnow 600 dan Halco Sorcerer 90.
Setibanya di Sungai Kalabakan, saya akan bermula dengan menunda gewang dari muara menuju ke hulu. Kekili Shimano Tranx 201HG diisi tali berkekuatan 60lb serta leader fluorocarbon 80lb ini dipasang pada joran Shimano Panzar PE3.
Pilihan gewang pertama ialah Halco Sorcerer 90 yang mampu menyelam sehingga lima meter (m).
Selepas beberapa ketika, gewang disambar selepas bot melalui satu muara sungai kecil. Seekor ikan tembaring seberat 6 paun (lb) berjaya didaratkan dan ia satu permulaan yang cukup baik pagi itu.
Kami meneruskan sesi menunda dan saya kekal menggunakan gewang yang sama.
Tidak jauh dari lokasi tangkapan pertama ada sebatang pokok tumbang yang menjulur ke tengah sungai.
Menyedari potensi tinggi gewang akan disambar, terus joran digenggam kemas. Ternyata, firasat saya tidak meleset. Sebaik gewang melepasi reba tersebut, satu sergapan berlaku tetapi tidak sekuat ikan pertama.
Apabila ikan dipam ke tepi bot, rupanya dapat seekor kerapu bintik.
Bot meneruskan perjalanan, namun tidak ada apa-apa sambaran gewang berlaku, cuaca pula semakin panas membuatkan kami berehat seketika.
Selanjutnya, kami membuat keputusan untuk mencuba mengilat gewang di kawasan muara.

Ketika kami sampai, air sudah mula menyorong surut. Ini merupakan keadaan yang cukup ideal kerana struktur reba semakin jelas kelihatan.
Tanpa membuang masa, kami segera menghala ke anak-anak sungai yang berpotensi, melempar gewang dengan harapan ada ikan menanti di sebalik reba.
Lost control
Saya menaruh harapan mengilat dengan gewang selaman dalam saiz 75mm. Hampa, gewang langsung tidak diendahkan membuatkan strategi bertukar dengan menyasarkan kawasan di tengah sungai pula.
Gewang dikarau seperlahan mungkin bagi memastikan ia dapat menyodok rapat ke dasar. Secara tiba-tiba ia disergap, saya cuba melawan, tetapi ikan terus menuju tebing dan akhirnya terlucut.
Gewang yang balik ke bot ‘cacat’ dengan belakangnya pecah mengakibatkan mata tiga hilang bersama ikan.
Tanpa berputus asa, saya bertukar ke gewang Zerek Tango Shad 89 Deep warna gold dan ia dilontar ke tempat sama. Ikan alu-alu pula yang menyambar dan ia berjaya dinaikkan.
Kami terus menyusuri sungai, mengilat di setiap kawasan berpotensi dan hasilnya tidak menghampakan apabila beberapa ekor kerapu serta siakap merah saiz hidangan berjaya didaratkan.
Walaupun saiznya tidak besar, namun setiap tangkapan tetap memberi kepuasan tersendiri setelah seharian berusaha.
Hari terakhir
Di hari kedua, hujan lebat turun pada waktu subuh. Ini sedikit sebanyak menjejaskan sesi pancingan kerana air sungai menjadi keruh dan suhu air menjadi sejuk.
Walaupun begitu, ia tidak menjejaskan semangat kami untuk memburu si raja muara. Awal pagi lagi, kami terus ke Sungai Kalabakan yang mengambil masa 40 minit perjalanan bot dari kampung kami.
Sesi pancingan dimulakan dengan menunda gewang Halco Sorcerer 90 multi colour yang masih diberi kepercayaan untuk menggempur kubu ikan.
Arus menyorong pasang dan sememangnya waktu terbaik untuk memburu ikan pemangsa. Setelah jauh menyusuri sungai, kami tiba di satu tanjung kecil dan di sini satu ragutan kasar diperolehi.
Menggunakan set kelas berat tidak memberikan saya masalah untuk menaikkan seekor tembaring seberat 7lb yang kemudian dilepaskan semula demi memastikan kelestarian sumber ini terus terpelihara untuk generasi akan datang. Keadaan air sungai yang tidak memihak kepada kami sememangnya menjejaskan peratusan kejayaan pancingan.
Sudden death
Kami membuat keputusan untuk menunda gewang menuju ke muara. Ayah saya yang setia menggunakan gewang Halco Poltergiest selaman 5 meter akhirnya mendapat rezeki seekor ikan jenahak saiz hidangan.
Kami lanjut menunda hingga tiba di satu anak sungai kecil. Di sini, kami hanya mengilat gewang mencari kerapu atau siakap merah.
Tatkala bot memasuki sungai tersebut, kelihatan beberapa batang pohon tumbang di satu kawasan membentuk satu reba besar. Struktur seperti ini sememangnya sangat berpotensi.
Gewang dilempar ke tengah reba, namun tiada reaksi dari penghuninya.
Kemudian, ia dibaling jauh ke belakang reba untuk meningkatkan kesedaran kepada ikan tentang kewujudan gewang di perimeter serangan.
Sebaik sahaja gewang Sotelo 75 melepasi kawasan reba itu, tiba-tiba satu sambaran kasar berlaku. Tanpa banyak tentangan, seekor ikan siakap merah seberat kira-kira 1.7 kilogram berjaya dihela naik ke dalam bot.
Kemudian, saya menukar gewang kepada Starlit Deep 75mm berwarna kuning kebiruan, ia dihantar ke reba yang sama. Sebaik dikarau terus ia disergap dan seekor tembaring yang menjadi rezeki tambahan.
Keletihan dua hari memancing membuatkan kami mengakhiri sesi pancingan lebih awal. Lagi pun, ini kampung halaman saya, jadi sentiasa akan ada hari-hari lain untuk saya turun memancing di sini.














