fbpx
Sebarau sentiasa tertarik dengan gewang berwarna terang.

‘Rahsia’ lokasi memancing di Kampung Chegar Galah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TERLETAK di Kuala Kangsar, kampung ini berada betul-betul di tepi Sungai Perak. Nadi kehidupan penduduk kampung ini rata-ratanya mengusahakan kebun sendiri dan menjadi nelayan air tawar.

Perjalanan saya dan adik bermula seawal pukul 4 pagi dari Kuala Lumpur. Sekitar pukul 7.30 pagi, kami disambut kabus nipis yang menyelimuti sungai, satu pemandangan yang cukup mendamaikan.

Selepas sarapan, kami terus menuju ke jeti, tempat kami bertemu dengan tekong, Syafiq atau lebih dikenali sebagai Syafiq Affandi di Facebook. Anak jati Kuala Kangsar ini memang cukup arif dengan selok-belok lubuk di Sungai Perak.

Cadangan pertama daripada tekong, gunakan popper pada waktu pagi kerana sebarau aktif di permukaan. Tidak sampai 20 minit memainkannya, popper saya disambar padu. Sambaran pertama daripada seekor sebarau bersaiz sederhana berjaya dinaikkan.

Walaupun bukan ‘trofi’, namun tentangan yang diberikan cukup memuaskan, lebih-lebih lagi dengan set-up ringan, joran 6-12lb dan tali utama 15lb.

Di sungai, cabaran utama bukan sahaja ikan sasaran, tetapi ia termasuk struktur seperti reba kayu dan batu yang boleh menyebabkan tali putus jika ikan tidak dapat dikawal dengan baik.

Kami meneruskan perjalanan menghilir untuk mencari lokasi seterusnya. Sebelum trip ini, hujan lebat melanda kawasan berhampiran, sekali gus menyebabkan sedikit kerisauan kerana air keruh boleh menjejaskan hasil.

‘Chicago’
Namun, tekong tetap optimis dan menuju ke satu tempat yang dikenali sebagai ‘Chicago’, nama samaran dalam kalangan pemancing setempat.

Setibanya di sana, kami melihat banyak aktiviti di permukaan air, frenzy yang berpunca daripada sekumpulan ikan lampam Siam.

Menurut tekong, spesies ini berasal dari Thailand dan terkenal dengan sifat agresifnya, sekali gus menjadikannya antara ikan sasaran, terutama bagi peminat pancing layang.

Kawasan tebing yang dipenuhi pokok berbuah menambahkan lagi potensi lokasi tersebut. Frenzy yang kerap berlaku juga memberi petunjuk kehadiran pemangsa seperti sebarau berstatus badong.

Saya menukar kepada gewang selaman dalam untuk mencari ikan yang lebih besar. Sedang mengarau, satu ‘letupan’ berlaku di permukaan berhampiran bot, gewang pencil adik saya disambar tetapi gagal lekat.

Saya terus mencuba di kawasan yang sama, dua kali percubaan sahaja, gewang saya disambar rakus.

Pada awalnya saya menyangka sebarau, namun rupa-rupanya seekor baung punya angkara, satu tangkapan istimewa dengan gewang.

Selepas itu, kami terus mencuba beberapa lokasi lain, namun tiada sambutan. Tekong kemudian mencadangkan kami bergerak ke hulu pula. Kami sampai ke pertemuan Sungai Perak yang jernih dan Sungai Pelus yang keruh seperti teh susu.

Kawasan ini terkenal sebagai lubuk berpotensi untuk badong. Saya menggunakan gewang selaman cetek Senses Savior 52SD yang stabil dalam arus, namun kali ini tiada rezeki.

Randuk
Kami naik lagi ke hulu, keadaan air ketika itu tidak terlalu jernih dan tidak terlalu keruh, kondisi ideal bagi memburu sebarau. Kami mengilat di kawasan berstruktur dan ada ketika perlu turun meranduk di kawasan cetek.

Momen ini cukup memberi kesan sentimental, suasana hutan, bunyi air dan ketenangan yang sukar digambarkan membuatkan saya sedar bahawa keindahan sebenar tidak perlu dicari jauh.

Tepat pukul 12 tengah hari, kami berhenti rehat di satu kawasan milik penduduk tempatan. Tempat itu menjadi lokasi riadah dengan pangkin, dikelilingi pokok-pokok rendang termasuk durian.

Ikan lampam Siam yang membedal gewang pencil adik penulis.

Bayangkan jika musim durian, pengalaman di sini pasti lebih bermakna.

Pada pukul 3 petang, kami menyambung semula sesi mengilat. Tidak lama kemudian, kami terserempak dengan satu kumpulan anak-anak toman. Adik saya terus melempar popper dan selepas tiga kali percubaan, ia bersahut.

Mulut ‘mama’ toman telah timbul di permukaan, besar, perlahan, tapi penuh tekanan. Jelas, hanya satu mata kail yang tersangkut di mulutnya. Ia menggeleng kepala dengan agresif, cuba meloloskan diri daripada cengkaman. Tuah tidak menyebelahi, dengan satu pusingan, mata kail terlucut.

Hari semakin petang, awan gelap mula berkumpul. Tekong membuat keputusan untuk mencuba nasib di pecahan sungai-sungai kecil.

Lubuk sebegini biasanya lebih teknikal, banyak struktur, air yang berpusar dan ruang sempit sering menjadi tempat ikan pemangsa menunggu mangsanya.

Sebaik memasuki sungai kecil, suasana berubah, air lebih tenang, arus perlahan dan struktur seperti kayu tumbang serta akar menjalar jelas kelihatan.

“Pakai gewang warna hijau,” pesan Syafiq ringkas.

Tanpa banyak soal, saya tukar gewang dan mula mengilat dengan fokus di kawasan berstruktur dan bersamai.

Tidak lama kemudian, gewang saya disambar dengan rakus. Kekuatan dan keganasan ikan toman rempit di sungai memang lain macam, ia melawan habis-habisan.

Akhirnya, dengan sedikit tekanan, ia berjaya ditewaskan. Kami kemudian keluar dari sungai kecil dan kembali ke sungai utama.

Di satu kawasan pertemuan air jernih dan keruh, gewang saya sekali lagi disambut, seekor sebarau berjaya didaratkan, namun keadaannya agak mengejutkan, ekornya cedera dan masih berdarah.

Pelbagai kemungkinan bermain di fikiran, adakah ini kerja toman atau mungkin pergelutan dengan pemangsa lain? Inilah realiti di habitat liar, rantai makanan yang sentiasa bergerak, keras dan penuh misteri.

Perjalanan diteruskan dan tidak lama selepas itu, seekor ikan nyenyuar menyambar gewang saya.

Spesies ikan yang jarang sudi dengan gewang, namun nasib tidak menyebelahi, mata kail gagal mengekalkan cengkaman dan ikan tersebut berjaya meloloskan diri.

Lubuk terakhir kami adalah satu lagi pertemuan dua batang sungai dengan dasar berbatu dan air cetek, kami terpaksa turun meranduk untuk mendapatkan sudut balingan terbaik. Kawasan ini kelihatan sangat berpotensi, namun tiada sambutan.

Sebagai penutup trip, adik saya berjaya menaikkan seekor lampam Siam bersaiz kasar. Walaupun bukan sasaran utama, namun spesies ini tetap memberikan tentangan yang menyeronokkan dengan set ringan.

Kami akhirnya bergerak pulang ke jeti dengan badan yang letih tetapi hati penuh ceria. Trip ini bagi saya sangat istimewa.

Sungai ini menyimpan khazanah alam yang cukup bernilai, keindahan, ketenangan dan pengalaman yang tidak boleh dijual beli.

Kadang-kadang, kita terlalu sibuk mencari keseronokan di tempat yang jauh, sehingga terlupa bahawa tempat dekat sebenarnya sudah cukup sempurna.

Sungai Perak bukan sekadar lubuk, ia adalah satu cerita, dan bagi mereka yang pernah merasainya, pasti akan faham sebab Kampung Chegar Galah ini menyimpan ‘rahsia’.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN