KUALA TERENGGANU – Dua lelaki ditahan reman selama tujuh hari sehingga Selasa ini bagi membantu siasatan memukul seorang lelaki warga asing di sebuah kedai runcit di Kampung Mak Kemas, Marang semalam.
Perintah reman tersebut dibenarkan Majistret Sharifah Amirda Shasha Amir Shariffuddin di Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd. Khairi Khairudin berkata, penahanan dua lelaki berusia 20-an berikutan aduan diterima daripada mangsa di Ibu Pejabat Polis Daerah Marang pada pukul 7.25 malam tadi.
“Kedua-dua suspek didakwa memukul mangsa berusia 34 tahun di sebuah kedai runcit di Marang. Siasatan awal mendapati ia berpunca daripada salah faham melibatkan mangsa dan dua suspek tersebut,” katanya di sini hari ini.-KOSMO! ONLINE














