PUTRAJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) telah menerima sebanyak 463 permohonan setakat hari ini, bagi menurunkan kandungan berita palsu berkaitan krisis bekalan global.
Jurucakap Kerajaan Madani, Datuk Fahmi Fadzil berkata, semua permohonan diterima akan dipanjangkan kepada penyedia platform media sosial terlibat untuk tindakan susulan mengikut prosedur sedia ada.
Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata, berdasarkan aduan yang diterima, platform Facebook mencatat jumlah tertinggi dengan 185 permohonan, diikuti TikTok sebanyak 142 kandungan, manakala Threads merekodkan 131 kandungan.
“Daripada 463 permohonan ini, sebanyak 65 kertas siasatan telah dibuka dan satu kes telah diputuskan oleh Jabatan Peguam Negara untuk didakwa di mahkamah.
“Selain itu, lima kes menerima nasihat untuk dikenakan arahan kompaun dan selebihnya masih dalam siasatan,” katanya pada sidang akhbar pasca mesyuarat Kabinet, di sini hari ini.
Katanya, kandungan berita palsu yang paling banyak dilaporkan adalah melibatkan isu harga bahan api serta kadar tol berkaitan Selat Hormuz.
Fahmi berkata, beliau mengingatkan orang ramai supaya sentiasa mengamalkan prinsip tabayyun atau menyemak kesahihan maklumat sebelum berkongsi sebarang kandungan.
“Dalam situasi krisis ketika ini, ia (berita palsu) itu dilihat amat sensitif dan memberi kesan langsung kepada ekonomi serta kesejahteraan rakyat,” katanya. – KOSMO! ONLINE














