KUANTAN – Hasrat seorang wanita untuk menikmati keindahan pantai berakhir dengan detik cemas apabila dia terperangkap di atas beting pasir ketika air pasang di Pantai Balok di sini semalam.
Difahamkan mangsa, Siti Syamal Mohd Arispan, 24, yang berasal dari Bera berjalan seorang diri ke beting pasir berkenaan tanpa menyedari air mula pasang.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Salahuddin Isa berkata, bomba yang tiba pada pukul 8.43 pagi mendapati terdapat seorang wanita dewasa berada di atas beting pasir.
“Anggota bomba memulakan operasi dengan membawa mangsa dengan bot getah Persatuan Perahu Layar Pahang menyeberangi dengan kedalaman kira-kira satu meter ke tepi pantai,” katanya di sini hari ini.
Dalam pada itu Mohd Salahuddin menasihatkan orang ramai yang berkunjung ke pantai supaya mengelakkan daripada berada di beting pasir terutama ketika air laut berubah.
“Beting pasir boleh kelihatan selamat semasa air surut tetapi akan cepat ditenggelami apabila air pasang, sentiasa peka dengan perubahan paras air laut,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














