fbpx
Gambar hiasan BDR.

Mampukah BDR jadi budaya kerja?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KONFLIK peperangan antara Iran, Amerika Syarikat dan Israel telah mengubah landskap kehidupan masyarakat seluruh dunia.

Ia mendorong kerajaan untuk melaksanakan beberapa dasar penting demi kesejahteraan rakyat.

Antara langkah yang dilaksanakan adalah dasar bekerja dari rumah (BDR). Di Malaysia, lebih 200,000 penjawat awam terlibat dalam pelaksanaan dasar tersebut yang bermula Rabu lalu.

Ketika pandemik Covid-19 kita sudah dilatih untuk BDR dan sewajarnya tidak menjadi masalah untuk kembali semula menjalani rutin bekerja dari rumah.

Walaupun begitu, ada juga suara-suara yang melahirkan kerisauan terhadap prestasi kerja sepanjang BDR.

Menurut Ketua Jabatan Pemajuan Profesional dan Pendidikan Lanjutan, Fakulti Pengajian Pendidikan, Universiti Putra Malaysia, Prof. Madya Dr. Nor Wahiza Abd. Wahat, kesiapsiagaan dalam melaksanakan BDR melangkaui pelbagai aspek.

“BDR dipengaruhi oleh pelbagai faktor seperti tahap keselesaan dan kemahiran individu, persekitaran kediaman serta sokongan daripada majikan dan keluarga.

“Keupayaan untuk berkomunikasi secara maya dan bekerja secara kolaboratif juga memainkan peranan penting.

“Selain itu, reka bentuk kerja yang sesuai serta pendekatan pengurusan prestasi yang inklusif perlu diberi perhatian bagi memastikan keberkesanan pelaksanaan BDR,” katanya.

Tambah beliau, dari sudut infrastruktur, Malaysia sebenarnya mempunyai asas yang agak kukuh. Sistem seperti HRMIS bagi pendaftaran lokasi dan aplikasi SPOT-Me untuk pemantauan kehadiran secara geolokasi menunjukkan bahawa aspek teknikal sudah tersedia untuk menyokong BDR.

Katanya, kajian terdahulu turut menunjukkan bahawa aturan kerja anjal mampu memperbaiki prestasi pekerja di samping mengurangkan masa perjalanan dan penggunaan tenaga.

Namun begitu, realiti pasca pandemik menyaksikan ramai pekerja kembali kepada norma kerja konvensional. Justeru, organisasi dan pekerja memerlukan masa serta latihan untuk membudayakan semula cara kerja baharu ini secara berkesan.

“Tanpa garis panduan yang jelas, pelaksanaan BDR berisiko menimbulkan pelbagai kesan negatif. Antaranya termasuk tekanan kerja, keletihan melampau dan gangguan terhadap keseimbangan kerja-kehidupan.

“Ketidakjelasan waktu bekerja juga boleh menyebabkan pekerja bekerja melebihi had yang sepatutnya serta menjejaskan kesejahteraan mereka.

“Aspek kesihatan turut tidak boleh dipandang ringan. Ketiadaan panduan ergonomik yang jelas boleh mendedahkan pekerja kepada risiko masalah kesihatan fizikal dan mental. Oleh itu, kesedaran serta pematuhan terhadap garis panduan oleh semua pihak menjadi elemen penting dalam memastikan kelestarian amalan BDR,” katanya.

Selain itu, peralihan daripada budaya kerja berasaskan kehadiran kepada berasaskan hasil sering menimbulkan kebimbangan dalam kalangan majikan. Kebimbangan ini termasuk kemungkinan penurunan produktiviti serta kesukaran untuk memantau prestasi pekerja.

“Keadaan ini boleh mendorong kepada amalan pengurusan mikro secara digital yang akhirnya memberi kesan negatif terhadap kesejahteraan psikologi pekerja.

“Sehubungan itu, latihan dan kursus berkaitan BDR perlu diberikan secara menyeluruh kepada majikan dan pekerja. Ia penting bagi memastikan kesejahteraan dan produktiviti dapat dicapai secara seimbang.

“Persoalannya kini bukan lagi sama ada kita boleh melaksanakan BDR tetapi adakah kita benar-benar bersedia untuk menjadikannya satu budaya kerja yang lestari,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN