SHAH ALAM – Seramai 3,345 rakyat termasuk penjawat awam Selangor bakal menerima manfaat menerusi inisiatif moratorium sewaan dan pinjaman rumah selama tiga bulan bermula Oktober ini.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, ia melibatkan implikasi peruntukan keseluruhan sebanyak RM4.56 juta.
Katanya, berdasarkan pecahan ia melibatkan seramai 1,012 penyewa unit rumah menerusi program Smart Sewa dengan kadar sewa sebulan
antara RM450 sehingga RM1,300.
“Kerajaan Negeri berusaha memastikan supaya kadar sewa ini kekal dan tidak meningkat, terutama pada ketika ini.
“Justeru, kesemua 1,012 penyewa rumah akan ditawarkan moratorium sewaan rumah bermula pada Oktober untuk tempoh tiga bulan sehingga Disember ini,” katanya ketika membentangkan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor pada Mesyuarat Khas Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor ke-15 di sini, hari ini.
Amirudin berkata, pelaksanaan moratorium itu akan diselaraskan oleh Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor mengikut permohonan penyewa dengan peruntukan sebanyak RM2.22 juta.
Beliau memberitahu, kerajaan negeri turut menawarkan moratorium bayaran semula pinjaman rumah di bawah Skim Pinjaman Perumahan Kerajaan Negeri kepada penjawat awam selama tiga bulan bagi tempoh sama. – KOSMO! ONLINE














