KUALA LUMPUR – Polis sedang meneliti rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di sekitar kawasan bagi menjejaki pergerakan suspek yang melarikan diri selepas kejadian samun kedai emas bernilai RM9.7 juta di Brickfields, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Polis Hoo Chang Hook berkata, penelitian itu melibatkan analisis rakaman CCTV dari beberapa lokasi berhampiran.
Katanya, usaha tersebut penting bagi mengesan laluan suspek selepas melarikan diri dari tempat kejadian.
“Polis sedang meneliti rakaman CCTV di sekitar lokasi kejadian bagi mengesan pergerakan suspek selepas mereka melarikan diri,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurut beliau, setakat ini seramai 12 individu telah dirakam keterangan bagi membantu siasatan.
“Kesemua individu yang direkod keterangan terdiri daripada pengadu, pemilik premis serta 10 pekerja kedai emas berkenaan.
“Hasil siasatan awal mendapati suspek menggunakan nombor pendaftaran milik sebuah kenderaan yang sah berdaftar dan polis turut mengambil keterangan pemilik asal nombor pendaftaran berkenaan,” ujarnya.
Terdahulu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus dilaporkan berkata, empat lelaki bersenjata melarikan barang kemas bernilai RM9.7 juta dalam kejadian di sebuah kedai emas di Jalan Tun Sambanthan kira-kira pukul 11 pagi.
Menurutnya, suspek yang bersenjatakan dua pistol tiba di lokasi menaiki sebuah kereta jenis Nissan Almera berwarna putih sebelum berdepan dengan pengawal keselamatan.
Katanya, kumpulan itu kemudian menyerbu masuk ke dalam premis dan mengugut pekerja sebelum memecahkan beberapa kaunter pameran.
Suspek kemudian melarikan diri menggunakan kenderaan sama sejurus selepas kejadian. – KOSMO! ONLINE














