KUALA LUMPUR – Program pelupusan kenderaan buruk dan tersadai oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kini diperkasa dengan penglibatan Car Medic Sdn. Bhd. sebagai pengendali utama, sekali gus mempercepatkan usaha membersihkan ibu kota daripada kenderaan usang.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Fadlun Mak Ujud berkata, pelantikan Car Medic melalui tender sejak Februari lalu membolehkan proses tunda, penyimpanan dan pelupusan dilaksanakan secara lebih sistematik dan cekap.
Menurutnya, syarikat itu turut mengendalikan keseluruhan rantaian operasi termasuk logistik, stor simpanan serta pelupusan secara lestari.
“Car Medic juga terlibat dalam pelaksanaan program ini, termasuk membantu pemilik melengkapkan proses pelupusan dengan lebih cepat dan teratur,” katanya katanya pada sidang akhbar di Majlis Peluncuran Pelupusan Kenderaan Buruk di PPR Pantai Ria hari ini.
Beliau berkata, bagi tempoh tiga bulan pertama, program tersebut memberi tumpuan kepada kawasan perumahan awam DBKL yang merekodkan lebih 1,100 kenderaan tersadai setakat Mac lalu.
Sehingga awal April tahun ini, sebanyak 768 kenderaan telah dilupuskan, manakala DBKL menyasarkan sekitar 1,200 kenderaan dapat diselesaikan sepanjang tahun ini.
Bagaimanapun, katanya, pemilik yang enggan bekerjasama akan dikenakan tindakan penguatkuasaan termasuk tunda atau angkut selepas notis dikeluarkan.
“Jika gagal patuh, pemilik perlu jelaskan kompaun sehingga RM500 selain kos tunda dan caj simpanan harian sebelum kenderaan boleh dituntut,” ujarnya.
Tambahnya, kehadiran Car Medic dilihat mampu mempercepatkan proses pelupusan yang sebelum ini berdepan kekangan.
“Dengan adanya Car Medic, proses pelupusan secara sukarela lebih mudah, tetapi cabaran utama adalah terhadap kenderaan yang perlu diambil tindakan undang-undang,” katanya.
Dalam masa sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berharap lebih ramai penduduk tampil menyertai program pelupusan itu.
“Ini antara pembaharuan penting DBKL untuk selesaikan masalah harian warga kota secara berperingkat,” katanya.
DBKL menegaskan kerjasama bersama Car Medic akan terus diperkukuh bagi memastikan pelupusan kenderaan tersadai dilaksanakan secara lebih cekap, tersusun dan mampan. – KOSMO! ONLINE














