PETALING JAYA – Sebanyak 61 struktur binaan tanpa kelulusan yang digunakan bagi aktiviti perniagaan di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Cempaka, Lembah Pantai di sini dirobohkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), semalam.
DBKL dalam kenyataan memaklumkan, operasi itu dilaksanakan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Pengurusan Air Selangor bagi tujuan pelaksanaan Projek Lestari Niaga.
Menurutnya, tindakan penguatkuasaan diambil selepas pemilik struktur mematuhi notis penguatkuasaan serta pengosongan tapak yang dikeluarkan atas kesalahan di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.
Struktur yang dirobohkan melibatkan pelbagai jenis perniagaan termasuk makanan dan minuman, kedai runcit, stor, perkhidmatan am serta lain-lain.
“Kerja-kerja merobohkan 61 struktur dan pembersihan kawasan berjalan lancar selepas barangan serta peralatan perniagaan dipindahkan keluar oleh pemilik premis.
“Pemotongan bekalan air dan elektrik turut dilaksanakan mengikut proses serta prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh DBKL, Air Selangor dan TNB,” katanya, hari ini.
Tambah DBKL, pihaknya akan meneruskan tindakan penguatkuasaan dan pemantauan dari semasa ke semasa bagi memastikan pematuhan undang-undang serta peraturan yang berkuat kuasa. – KOSMO! ONLINE














