SEPANG – Persiapan Tabung Haji (TH) bagi menyantuni seramai 31,600 jemaah bagi musim haji 2026 dilaporkan telah siap sepenuhnya, sekali gus memberi jaminan kepada tahap keselesaan dan keselamatan bakal duyufurrahman di Tanah Suci.
Timbalan Pengarah Gerakan Operasi Haji Tanah Air, Mohd. Norber Kassim berkata, dalam konteks ini, TH telah bersedia sepenuhnya di lapan stesen di seluruh negara termasuk di Sepang bagi menghantar penerbangan pertama pada Sabtu ini.
“Apa boleh dikatakan, hampir 100 peratus (persiapan), mungkin ada perubahan di sana kerana ada pertukaran baharu. Namun, secara keseluruhannya, kita telah bersedia.
“Di tanah air, ia melibatkan lapan stesen yang mana di Sepang merupakan stesen utama yang mana semuanya telah selesai daripada segi Mesyuarat Penyelesaian Operasi Haji Tanah Air.
“Mesyuarat itu bagi berbincang dengan semua agensi terlibat di stesen berkenaan bagi memastikan semua urusan keberangkatan berjalan lancar,” katanya ketika ditemui pemberita selepas program Lawatan Media bagi Operasi Musim Haji 1447H/ 2026M di Movenpick Hotel & Convention Center di sini hari ini.
Mohd. Norber berkata, penerbangan pertama jemaah haji Malaysia dijadualkan berlepas pada Sabtu ini dengan pemeriksaan masuk atau lapor diri bermula sehari lebih awal iaitu pada pukul 10 malam.
Menurutnya, bagi penerbangan pertama, seramai 284 jemaah haji akan berlepas menggunakan pesawat Malaysia Airlines (MAS).
Dalam pada itu, beliau berkata, TH turut memberi penekanan terhadap aspek kesihatan jemaah haji yang disifatkan sebagai keperluan penting dalam memastikan kelancaran ibadah di Tanah Suci.
Selain itu, katanya, pengurusan aktiviti berkaitan haji seperti tawaran menunaikan haji, jadual penerbangan, urusan kursus, visa dan pasport, penyelarasan penerbangan serta kelengkapan jemaah telah dilaksanakan dengan teratur.
“Kesemua maklumat tersebut telah dikongsikan dan disampaikan kepada bakal jemaah haji sebagai persediaan menyeluruh sebelum berlepas ke Tanah Suci.
“Dalam usaha memastikan pengurusan yang cekap, TH juga telah membuat persiapan rapi melibatkan petugas-petugas terlatih.
“Persiapan ini merangkumi penugasan petugas yang akan membantu dan membimbing jemaah haji sepanjang berada di Tanah Suci serta di tanah air,” katanya. – KOSMO! ONLINE














