PETALING JAYA – Pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerima kira-kira 40 hingga 60 peratus panggilan kecemasan berdasarkan trend semasa ketika musim panas melibatkan kebakaran terbuka seperti belukar, hutan serta kebun dan ladang.
Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Seri Ts. Nor Hisham Mohammad berkata, kes kebakaran hutan, ladang dan belukar terus menunjukkan trend membimbangkan apabila mencatatkan 32,810 kes sejak 2024 sehingga Februari lalu.
Ujar beliau, tahun 2024 merekodkan jumlah tertinggi dengan 16,294 kes, diikuti 9,941 kes pada 2025 serta 6,575 kes bagi dua bulan pertama tahun ini.
“Kebakaran belukar dan lalang kekal penyumbang terbesar dengan 26,800 kes daripada keseluruhan jumlah, diikuti kebakaran hutan (3,860) serta kebun dan ladang (2,150).
“Mengikut pecahan kategori, kebakaran belukar dan lalang kekal menjadi penyumbang terbesar kes kebakaran di seluruh negara. Kami memberi perhatian serius terhadap kawasan berisiko tinggi atau ‘hotspot’ seperti tanah gambut dan hutan simpan di Selangor, Perak dan Johor,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Beliau berkata, kebakaran di tanah gambut amat berbahaya kerana api boleh merebak di bawah permukaan tanah, sukar dikesan dan berpotensi berlarutan selama berminggu-minggu jika tidak dikawal lebih awal.
Sehubungan itu, ujarnya, JBPM mempergiat penggunaan teknologi termasuk dron bagi pemantauan udara untuk mengesan titik panas sebelum kebakaran menjadi lebih serius.
“Berdasarkan trend semasa, sekitar 40 hingga 60 peratus panggilan kecemasan ketika musim panas melibatkan kebakaran belukar, hutan serta kebun dan ladang,” jelasnya.
Katanya, orang ramai digesa supaya segera melaporkan sebarang kejadian asap atau punca api kecil melalui talian kecemasan 999.
“Orang ramai juga digalakkan menjadi ‘mata dan telinga’ pihak berkuasa dengan melaporkan sebarang aktiviti pembakaran terbuka yang mencurigakan kepada Jabatan Alam Sekitar di talian 1-800-88-2727.
“Individu yang melakukan pembakaran terbuka boleh didenda sehingga RM500,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974,” katanya.
Kosmo! semalam melaporkan, sebuah ladang kelapa sawit seluas kira-kira 60.7 hektar di Kampung Jemeri, Kuala Rompin serta hutan belukar seluas kira-kira 150 hektar di kiri dan kanan Highway Bypass Punggai menghala ke Sebana Cove di Kota Tinggi terbakar.













