fbpx
Dengan berakhirnya operasi ISS pada sekitar tahun 2030, syarikat-syarikat swasta kini berlumba-lumba berusaha membangunkan stesen angkasa komersial sendiri dengan pelbagai projek berkaitan antaranya Axiom Station, Voyager Space, Orbital Reef untuk pelbagai tujuan antaranya penyelidikan, latihan angkasawan swasta dan pelancongan angkasa.

Era baharu stesen angkasa, syarikat persendirian bakal kuasai orbit Bumi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SELEPAS lebih dua dekad menjadi simbol kerjasama antarabangsa dalam penerokaan angkasa, International Space Station (ISS) dijangka ditamatkan operasinya sekitar tahun 2030.

Perkembangan ini membuka lembaran baharu dalam industri angkasa apabila syarikat-syarikat swasta mula membangunkan stesen angkasa komersial sendiri.

Era baharu ini sering digelar sebagai ‘era stesen angkasa persendirian’, dan bakal mengubah cara manusia menjalankan penyelidikan, perniagaan dan pelancongan di orbit rendah Bumi (Low Earth Orbit).

Menurut Pengerusi Dewan Jawatankuasa Kecil Angkasa dan Aeronautik di Amerika Syarikat (AS), Brian Babin, peralihan itu didorong oleh strategi Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) yang mahu mengalihkan operasi orbit rendah kepada sektor swasta.

Jadi, NASA boleh menumpukan sumber kepada misi lebih jauh seperti penerokaan Bulan dan Marikh.

“Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, agensi tersebut telah menyalurkan ratusan juta dolar untuk menyokong pembangunan stesen angkasa komersial sebagai pengganti kepada ISS.

“Jika projek ini berjaya, orbit rendah Bumi bakal menjadi hab ekonomi baharu yang didorong oleh syarikat swasta,” katanya dalam satu artikel dalam portal, Space.com.

Tambahnya, salah satu pemain utama dalam perlumbaan itu ialah Axiom Space yang merancang membina Axiom Station.

Strategi syarikat itu agak unik kerana modul pertama stesen tersebut dipasang pada ISS terlebih dahulu, sebelum dipisahkan dan beroperasi secara bebas.

Jurucakap Axiom Space dalam satu artikel di portal Astronomy.com berkata, modul pertama dijangka dilancarkan sekitar tahun depan.

SYARIKAT Vast sedang berusaha membina stesen pertama Haven-1.

Katanya, beberapa modul tambahan akan menyusul bagi membentuk stesen angkasa pada penghujung dekad ini.

“Axiom juga telah memulakan misi penerbangan angkasawan komersial menggunakan kapsul SpaceX ke ISS.

“Ini membuktikan model perniagaan baharu menggabungkan penyelidikan saintifik, latihan angkasawan swasta dan pelancongan angkasa.

“Bagi konsep reka bentuknya, bahagian dalaman stesen ini direka oleh pereka terkenal, Philippe Starck dengan pendekatan futuristik dan selesa, termasuk tingkap besar untuk melihat Bumi,” katanya.

SELAIN Axiom, projek besar lain ialah Orbital Reef yang dibangunkan oleh Blue Origin dan Sierra Space.

Stesen tersebut digambarkan sebagai ‘taman perniagaan di angkasa’ yang boleh menempatkan sehingga 10 orang pada satu-satu masa.

Stesen itu bakal menyokong pelbagai aktiviti seperti penyelidikan mikrograviti, pembuatan di orbit serta pelancongan angkasa.

Projek tersebut menyasarkan operasi sekitar akhir dekad 2020-an, dan dijangka menjadi salah satu infrastruktur komersial utama di orbit rendah Bumi.

Satu lagi projek penting ialah Starlab yang dibangunkan oleh konsortium melibatkan Voyager Space dan Lockheed Martin.

Stesen berkenaan direka sebagai habitat tunggal dengan makmal penyelidikan, lengan robotik dan sistem kuasa serta pendorongan sendiri.

Ia dijangka menampung empat orang kru pada satu-satu masa dengan memberi tumpuan kepada eksperimen saintifik serta pembangunan teknologi baharu dalam keadaan mikrograviti.

Dalam masa sama, syarikat pemula (startup) juga mula muncul dengan idea yang lebih berani. Contohnya syarikat Vast yang merancang membina siri stesen angkasa Haven.

Menurut Angkasawan Utama Vast, Drew Feustel, stesen pertama, Haven-1 dijangka dilancarkan pada akhir dekad ini sebagai demonstrasi teknologi, sebelum projek lebih besar Haven-2 dibangunkan untuk menggantikan peranan ISS selepas 2030.

Syarikat itu baru-baru ini memperoleh pembiayaan kira-kira AS$500 juta (RM2 bilion) bagi mempercepatkan pembangunan stesen tersebut.

“Perkembangan ini menandakan kemunculan ekonomi orbit yang baharu.

“Stesen angkasa persendirian tidak hanya menempatkan angkasawan milik kerajaan, tetapi juga saintis, syarikat farmaseutikal, pengeluar bahan maju serta pelancong angkasa.

“Dalam keadaan mikrograviti, penyelidik boleh menghasilkan kristal protein berkualiti tinggi untuk pembangunan ubat, membangunkan gentian optik ultra tulen, serta menguji bahan baharu yang sukar dihasilkan di Bumi,” kongsinya.

Pemilik dan pengendali stesen angkasa juga melihat peluang komersial yang luas.

Ada pihak yang membayangkan stesen angkasa sebagai pusat penyelidikan global. Terdapat juga pihak yang melihat potensi membangunkan industri pelancongan angkasa.

Dengan kos pelancaran yang semakin murah hasil inovasi syarikat pelancaran seperti SpaceX, akses ke orbit kini menjadi lebih realistik untuk syarikat swasta.

Namun cabaran besar masih wujud. Pembinaan stesen angkasa memerlukan pelaburan berbilion dolar serta kerjasama kompleks antara syarikat aeroangkasa, agensi kerajaan dan pelabur swasta.

Selain itu, terdapat persoalan tentang permintaan pasaran sebenar, keselamatan operasi dan pengurusan sisa angkasa yang semakin meningkat di orbit rendah Bumi.

Walaupun begitu, ramai pakar percaya bahawa era stesen angkasa persendirian semakin hampir menjadi kenyataan.

Dengan beberapa projek dijangka dilancarkan sebelum penghujung dekad ini, orbit rendah Bumi akan berubah daripada makmal kerajaan kepada ekosistem komersial yang sibuk.

Jika visi ini menjadi realiti, manusia bukan sahaja akan terus berada di angkasa selepas era ISS berakhir, malah mungkin memulakan langkah pertama menuju ekonomi angkasa yang lebih luas pada masa hadapan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN