fbpx
Semua pencarum KWSP kini tertunggu-tunggu pengumuman rasmi kadar dividen bagi tahun 2025. – GAMBAR HIASAN

Tak dapat semua, 20% pun okey – Pencarum KWSP

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Kerajaan diminta mempertimbangkan kelonggaran dengan menaikkan kadar agihan dividen Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ke Akaun 3, sekurang-kurangnya 20 peratus berbanding 10 peratus ketika ini.

Seorang pencarum, Che Ahmad Irfan Che Ruzaidi, 31, berkata, peningkatan kadar dividen itu mampu membantu menampung komitmen terutama pada musim perayaan.

“Saya rasa 20 peratus pun sudah agak menarik untuk kegunaan kecemasan.

“Macam saya, memang memerlukan wang itu untuk bayar hutang dan komitmen sedia ada. Lagi-lagi awal tahun banyak nak perbaharui cukai jalan dan insurans kenderaan. Banyak yang datang serentak dan menyebabkan kewangan agak sesak,” katanya.

Bagaimanapun, Ahmad Irfan tetap bersyukur dengan kewujudan Akaun 3 yang memberi ruang kepada pencarum mengakses sebahagian simpanan ketika kecemasan.

“Semoga tahun ini ada sinar untuk dividen naik. Walau apa pun keputusan kerajaan, kita sebagai penyimpan perlu bijak menilai sama ada penggunaan itu benar-benar keperluan atau sekadar kehendak,” katanya.

Di Shah Alam, Selangor, pekerja swasta, Shahrain Ajis, 37, juga berharap peratusan dividen ke Akaun 3 dinaikkan kepada 30 peratus.

“Sebagai bapa kepada empat anak, persiapan raya keluarga saya biasanya memerlukan lebih RM1,000 setahun.

“Jika dividen ini diberi, ia ibarat wang saku tambahan untuk membeli baju, kuih raya dan keperluan lain,” katanya.

Menurutnya, peningkatan dividen juga dapat mengelakkan orang ramai daripada terpaksa meminjam wang, termasuk daripada along.

Di Kuala Terengganu, Terengganu, seorang kerani, Mohd. Halim Abd. Saat, 46, berkata, peningkatan kadar agihan ke Akaun 3 jika dapat direalisasikan kerajaan boleh dianggap hadiah hari raya.

“Saya berhasrat mengeluarkan sedikit simpanan Akaun 3 KWSP sebagai persiapan raya buat isteri dan anak-anak.

“Sejujurnya kami masih belum membuat apa-apa persiapan raya kerana banyak sudah simpanan dihabiskan untuk perbelanjaan dua anak yang masuk sekolah berasrama penuh baru-baru ini,” katanya.

Di Lipis, Pahang, pekerja kurier, Syahir Khalil, 42, menyifatkan kenaikan agihan dividen ke Akaun 3 sebagai satu inisiatif rea­listik dalam membantu rakyat menghadapi cabaran ekonomi semasa.

“Dana dalam Akaun 3 boleh dimanfaatkan untuk perbelanjaan asas seperti kos persekolahan anak, pembaikan rumah serta keperluan harian jika berlaku kecemasan.

“Sekurang-kurangnya kami ada simpanan yang boleh diakses tanpa perlu menjejaskan simpanan persaraan sepenuh­nya,” ujarnya.

Di Ipoh, Perak, seorang pekerja swasta di kedai serbaneka 24 jam, Norsiah Abdul Halim, 47, berkata, jika kenaikan itu diluluskan kerajaan, Aidilfitri kali ini adalah paling meriah disambut bersama keluarga.

“Suami saya hanya seorang pemandu lori kelapa sawit yang kerjanya mengikut ‘trip’, Kami mempunyai lima orang anak yang masih bersekolah.

“Baju raya sendiri sudah beberapa tahun tidak berganti termasuk persiapan di rumah. Makan pun sekadar ala kadar, cuma ada ‘baraan’ (ziarah beramai-ramai semasa 1 Syawal ke rumah jiran) yang dapat makan sedap seperti ketupat, lemang, rendang tok, dendeng dan serunding,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN